Kapit tidak hadapi masalah kekurangan bekalan barangan keperluan asas

Pegawai penguatkuasa KPDNHEP melakukan tinjuan pemantauan pematuhan harga barangan di sekitar pekan Kapit.

KAPIT, 28 Jan: Tiada isu masalah kekurangan bekalan barangan keperluan asas termasuk minyak masak paket dan minyak masak berbotol di sekitar Kapit sejak kerajaan mengumumkan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) berkuat kuasa bermula 18 Januari lalu.

Ketua Pegawai Penguat Kuasa Daerah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) cawangan Kapit, Al-Redzamani Abdul Razak, berkata bagi mengekang situasi pembelian panik, terdapat sesetengah peniaga menghadkan penjualan minyak masak paket yang bersubsidi kepada pengguna.

Katanya, tindakkan itu susulan arahan yang dikeluarkan pada 19 Januari lalu berkenaan had pembelian minyak masak paket maksimum hanya 3 paket untuk seorang pelanggan.

“Ada antara peniaga dan pengusaha pasar raya hanya membenarkan pembelian 3 kilogram minyak masak paket bagi setiap pelanggan dan ia tidak menyalahi peraturan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, pihak penguat kuasa KPDNHEP akan berhubung terus dengan 10 peruncit terpilih yang dilantik sebagai Dedicated District Retailer (DDR) sekitar Bahagian Kapit termasuk Daerah Song dan Belaga jika terdapat masalah daripada punca bekalan yang kebanyakkannya daripada pembekal atau pemborong-pemborong di Sibu.

Katanya, pada ketika ini Bahagian Kapit tidak mempunyai syarikat pembungkus minyak masak dan pemborong barangan keperluan asas lain sekaligus menyebabkan peniaga-peniaga di bahagian itu bergantung kepada bekalan daripada Sibu.

“Bagaimanapun, Bandar Kapit sendiri terdapat beberapa kedai runcit yang dilantik menjadi Point of Sales dibawah Program Penyeragaman Harga Barangan Keperluan bagi memastikan keberadaan bekalan minyak masak paket di pasaran.

“Minyak masak paket 1kg dijual pada harga RM2.50 sen yang ditetapkan dalam Program Skim Rasionalisasi Subsidi Harga Minyak (COSS)” katanya.

Al Redzamani berkata menerusi tinjauan pematuhan yang dilaksanakan mendapati harga barangan masih tidak melebihi harga ditetapkan kerajaan terutama di beberapa Point of Sales yang termasuk dalam Program Penyeragaman Harga Barangan Keperluan Asas.

Katanya, Sehingga hari ini KPDNHEP Kapit belum lagi menerima sebarang aduan berkenaan kekurangan bekalan keperluan asas, kenaikan harga dan pembelian panik sejak 1 Januari lalu.

“Bagi mengekalkan kestabilan bekalan, pihak peniaga dinasihatkan untuk mencetak dan mempamerkan notis had jualan minyak masak paket yang jelas kepada pengguna.

“Peniaga juga sentiasa diingatkat supaya tidak mengambil kesempatan dengan menaikkan harga yang melampau khususnya melibatkan barangan keperluan asas semasa perlaksanaan PKPB dan diharapkan semua peniaga dapat mematuhi peraturan perniagaan yang telah ditetapkan,”katanya. -DayakDaily