Kanak-kanak antara 15 Pati yang ditahan dalam Ops Benteng

Seorang kanak-kanak antara enam Pati yang ditahan ATM ketika cuba merentasi sempadan Malaysia-Indonesia untuk kembali ke negara asal mereka.

KUCHING, 24 Dis: Seramai 15 pendatang asing tanpa izin (Pati) dari Indonesia diusir kembali ke negara asal mereka selepas didapati cuba memasuki dan keluar dari negeri ini secara haram dalam empat kejadian berbeza pada Selasa (22 Dis), Rabu (23 Dis) dan hari ini.

Markas 1 Divisyen Pertama Infantri Angkatan Tentera Malaysia (ATM) menerusi satu kenyataan berkata dalam kejadian pertama sekitar 1.30 petang pada 22 Dis, enam Pati termasuk seorang kanak-kanak ditahan anggota ATM yang mebuat rodaan di sektor Biawak ketika dalam perjalanan menuju ke arah sempadan Malaysia-Indonesia menerusi laluan lorong tikus.

Setelah diperiksa dan disoal siasat, kesemua Pati terbabit didapati tidak mempunyai sebarang dokumen perjalanan yang sah selain menyatakan mahu pulang ke Indonesia menggunakan lorong tikus tersebut.


Katanya, dalam kejadian kedua, enam Pati lagi ditahan ketika cuba memasuki negeri ini secara haram melalui jalan lorong di ladang kelapa sawit di Kampung Kendaie menggunakan sebuah kenderaan pacuan empat roda dan motosikal.

Turut ditahan seorang warga tempatan yang bertidak sebagai tekong darat yang cuba mebawa masuk pati terbabit menggunakan laluan tidak sah.

Enam Pati ditahan ketika cuba memasuki negeri ini secara haram melalui jalan lorong di ladang kelapa sawit di Kampung Kendaie.

“Setelah diperiksa, kesemua Pati ini tidak mempunyai sebarang dokumen perjalanan sah dan kesemua mereka termasuk tekong darat terbabit dibawa ke Balai Polis Lundu untuk menjalani Ujian Swab Covid-19 dan tindakan selanjutnya.

“Bagi kejadian ketiga pula, berlaku semalam (Rabu, 23 Dis) sekitar 11.30 malam, dua wanita dipercayai Pati dalam keadaan mencurigakan sedang berjalan dari Malaysia ke arah sempadan dan ingin merentasi sempadan Malaysia-Indonesia daripada Tebedu.

“Setelah disoal siasat, Pati tersebut dari menyatakan mereka dari Kuching hendak pulang ke Entikong melalui laluan tikus dan kesemua mereka diusir setelah laporan dibuat di Balai Polis Tebedu.

Katanya, dalam kejadian keempat yang berlaku sekitar jam 8.42 pagi tadi, seorang Pati ditahan ketika sedang berjalan kaki melalui jalan lorong ladang kelapa sawit dari arah sempadan Malaysia-Indonesia dekat sektor Biawak, Lundu.

“Pemeriksaan dan soal siasat yang dilakukan terhadap Pati tersebut mendapati dia menggunakan lorong tikus terbabit untuk balik ke Indonesia,”katanya.

Tambah kenyataan itu, operasi besar-besaran dalam membasmi Pati dipercayai menjadi antara punca pergerakan Pati pulang ke Indonesia menggunakan laluan tikus sedikit meningkat.

Justeru, kata kenyataan itu, anggota keselamatan terutama Tentera Darat Malaysia sentiasa bersedia dan meningkatkan kesiagaan pasukan dalam membendung jenayah serta mengelakkan sempadan negara daripada dibolosi. — DayakDaily