Covid-19: Remaja 15 tahun antara dua kematian dilaporkan hari ini

Covid-19 file pic

PUTRAJAYA, 24 Dis: Seorang remaja berusia 15 tahun menjadi antara dua kematian akibat jangkitan Covid-19 dilaporkan hari ini.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, kes membabitkan remaja terbabit dilaporkan di Hospital Lahad Datu, manakala satu lagi kes melibatkan seorang warga emas berusia 61 tahun dilaporkan di Hospital Sandakan.

“Pertambahan kes kematian ini menjadikan jumlah kematian akibat wabak tersebut meningkat kepada 446 kes atau 0.45 peratus daripada keseluhan kes sehingga kini,” katanya menerusi kenyataan harian Covid-19 hari ini.

Beliau berkata, sebanyak 1,581 kes jangkitan positif Covid-19 dilaporkan hari ini menjadikan jumlah kumulatifnya kini melepasi angka 100,318 kes dengan kebolehjangkitan sebanyak 18,773 kes.

Katanya, daripada jumlah tersebut, dua kes merupakan kes import yang di kesan mendapat jangkitan dari luar negara, manakala selebihnya merupakan jangkitan tempatan.

“Negeri Selangor kekal melaporkan kes harian baharu tertinggi iaitu sebanyak 491 kes (31.1 peratus).

“Daripada jumlah ini, sebanyak 375 kes (76.4 peratus) adalah daripada kluster-kluster dan saringan kontrak rapat Covid-19 yang aktif dijalankan di lapangan.

“Ini diikuti oleh Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur sebanyak 379 kes (24.0 peratus) dan Sabah sebanyak 249 kes (15.7 peratus).

“Sebanyak 270 kes (17.1 peratus) yang dilaporkan pula adalah berkaitan kluster-kluster di lokap dan penjara yang membabitkan Kluster Penjara Jalan Harapan (185 kes), Kluster Tembok Gajah (74 kes), Kluster GK Tawau (6 kes), Kluster Tembok (4 kes), dan Kluster Bakti (1 kes),” katanya

Dr Noor Hisham berkata, setakat jam 12.00 tengahari tadi, seramai 1,085 kes sembuh daripada jangkitan Covid-19 dilaporkan menjadikan jumlah kumulatif meningkat kepada 81,099 atau 80.8 peratus daripada keseluruhan kes yang dilaporkan.

Pada masa sama sebanyak 102 kes positif Covid-19 kini sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU), dengan 45 kes daripanya memerlukan bantuan pernafasan.

Tambah Dr Noor Hisham, sehingga kini terdapat sebanyak 468 kluster telah dilaporkan termasuk empat kluster baharu yang dilaporkan pada hari ini.

“Jumlah kluster yang telah tamat pula adalah sebanyak 262 kluster termasuk enam kluster yang tamat pada hari ini iaitu Kluster Kasir dan Kluster Tomher MC, Kluster Utama, Kluster Rengas, Kluster Mempulut dan Kluster Haven menjadikan jumlah kluster aktif yang dipantau adalah sebanyak 206 kluster.

“Daripada jumlah tersebut, sebanyak 53 kluster melaporkan pertambahan kes dengan tiga kluster daripadanya melaporkan pertambahan kes baharu tertinggi pada hari ini iaitu Kluster Penjara Jalan Harapan (185 kes), Kluster Tapak Bina Permai (138 kes) dan Kluster Kebun Baru (95 kes),” katanya. —DayakDaily