Kaji secara mendalam pemberian dos penggalak, kata Abdul Karim

Abdul Karim (tengah) pada sidang media selesai Majlis Perasmian Program Kepolisan Komuniti Daerah Asajaya 2021.

Oleh Chris Bishop

ASAJAYA, 20 Sept: Menteri Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah menggesa pihak bertanggungjawab melakukan kajian secara mendalam berhubung pemberian vaksin dos ketiga.

Katanya, kajian perlu dilakukan untuk memastikan dos ketiga atau dos penggalak itu akan membawa kebaikan dan tidak memudaratkan rakyat.


“Jabatan Kesihatan Negeri Sarawak, menteri yang bertanggungjawab dengan kesihatan dan Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBNS) mesti perhalusi sama ada perlu atau tidak untuk kita melaksanakan pemberian dos penggalak ini.

“Kalau tidak perlu, buat apa bazirkan duit seperti pelaksanaan kuarantin di hotel. Kalau betul-betul perlu, teruskan,” katanya pada sidang media selesai Majlis Perasmian Program Kepolisan Komuniti Daerah Asajaya 2021 di sini, hari ini.

Tambah Abdul Karim yang juga Menteri Belia dan Sukan, Sarawak dengan kadar vaksinasi (dos 1 dan dos 2) yang tinggi telah menjalankan tugas dengan baik setakat ini.

Katanya, walaupun kes harian positif adalah tinggi namun 99.9 peratus adalah dalam kategori 1 dan 2.

Beliau berpandangan bahawa kajian dan perbandingan dengan apa yang berlaku di United Kingdom (UK) dan Amerika termasuk negara membangun di Eropah yang memiliki tahap pengawasan Covid-19 yang tinggi harus dilakukan.

“Kalau selepas dua dos di UK, nampak keadaan sudah baik dan mereka mula menerima kemasukan dari Malaysia.

“Setiap malam kita menyaksikan stadium (perlawanan bola sepak) sentiasa penuh dan tiada yang memakai pelitup muka.

“Apa yang disuntik (Pfizer dan Astrazaneca) kepada warga UK adalah sama dengan yang kita terima. Oleh itu, mengapa kita perlu dos ketiga?” ujar Abdul Karim.

Semalam, Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin berkata pemberian dos penggalak vaksin untuk golongan rentan dan berisiko dijangkiti Covid-19 dijangka bermula pada Oktober ini.

Beliau berkata golongan itu termasuk warga emas dengan komorbiditi seperti mempunyai masalah kesihatan kronik, petugas barisan hadapan, individu kurang daya tahan imun serta mereka yang tinggal dan bekerja di pusat jagaan jangka panjang.

Bagaimanapun, Khairy berkata Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) belum membuat keputusan sama ada dos penggalak itu akan diberikan kepada semua individu di negara ini. — DayakDaily