Kadar pengangguran turun 3.9 peratus pada April 2022 — PM

Dato Sri Ismail Sabri Yaakob

KUCHING, 25 Julai: Setakat April tahun ini, kadar pengangguran menurun kepada 3.9 peratus, kata Perdana Menteri Dato Sri Ismail Sabri Yaakob.

Menurut beliau, bilangan penduduk bekerja di seluruh negara direkodkan seramai 15.85 juta orang.

“Perkembangan ini merupakan hasil pelaksanaan inisiatif kerajaan menerusi kerjasama merentasi kementerian-kementerian, agensi-agensi pelaksana dan industri.


“Ini sekali gus berhasil membantu menempatkan lebih 558,000 pekerja pada tahun lalu,” katanya di majlis Perasmian Ekspo Kerjaya Jamin Kerja Keluarga Malaysia 2022 di Kuala Lumpur hari ini.

Namun tambah Ismail Sabri, keadaan ketidaktentuan dunia akibat krisis geopolitik dunia dan perubahan iklim global telah menjejaskan rantaian bekalan bahan makanan yang menyebabkan kenaikan harga barang.

Katanya, ini memberi kesan kepada kos sara hidup Keluarga Malaysia yang terpaksa meniti cabaran ini yang turut menjejaskan sektor pekerjaan.

“Bagi menepis tempias cabaran yang dihadapi Keluarga Malaysia, kerajaan mengambil pelbagai inisiatif termasuk menganjurkan ekspo kerjaya ini yang seharusnya dimanfaatkan oleh pencari kerja dan para majikan.

“Dengan gabungan lima elemen utama iaitu, majikan, pekerja, ekonomi gig, keusahawanan dan perusahaan sosial, ekspo kerjaya ini benar-benar memberikan solusi kerjaya yang lengkap kepada rakyat Malaysia,” ujar beliau

Katanya lagi, penganjuran ekspo kerjaya ini disokong dengan pewujudan Portal Pekerjaan Negara, MYFutureJobs.

Ia mampu melakukan padanan pekerjaan dan perkhidmatan kerjaya lain selain menawarkan inisiatif-inisiatif kerajaan.

Sementara itu, kata Ismail Sabri, di bawah program JaminKerja–Insentif Penggajian (JKIP), kerajaan dapat memangkinkan penciptaan peluang pekerjaan dan pengambilan pekerja sepanjang tahun ini.

“Sehingga 18 Julai tahun ini, Program JKIP dan perkhidmatan pekerjaan MYFutureJobs telah membantu menyediakan jaminan pekerjaan kepada kira-kira 113,672 ahli Keluarga Malaysia.

“Namun, disebabkan suasana dunia yang tidak menentu, kerajaan melanjutkan tempoh program JKIP yang berakhir pada 30 Jun lalu, kepada 31 Disember ini,” katanya.

Lanjutan Program JKIP ini akan menumpukan kepada pengambilan pekerja dalam kategori mudah terjejas.

Ia mengutamakan golongan Orang Kurang Upaya (OKU), wanita, individu yang hilang pekerjaan, pekerja dalam sektor pelancongan dan bekas banduan.

Ekspo Kerjaya Jamin Kerja Keluarga Malaysia 2022 bermula hari ini sehingga 27 Julai.

Program tersebut menyediakan lebih 30,000 peluang pekerjaan yang ditawarkan oleh 1,000 majikan daripada pelbagai sektor. — DayakDaily