Kadar kemajuan Projek Jambatan Batang Rambungan capai 11 peratus

Julaihi (dua dari kanan) pada sesi taklimat di pejabat tapak bina di Rambungan, dekat Kuching.

Oleh Chris Bishop

KUCHING, 25 Julai: Pembinaan Jambatan Batang Rambungan yang dijadualkan siap pada tahun 2023 mencapai kemajuan sebanyak 11 peratus setakat ini.

Menteri Muda Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan Datuk Julaihi Narawi berkata, projek lambat daripada jadual asal disebabkan kekangan yang dihadapi semasa pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Namun katanya, kerja-kerja di lapangan tetap diteruskan di sepanjang PKP.

“Sekarang kita berada di bulan Julai dan majlis pecah tanah telah disempurnakan oleh ketua menteri pada Disember 2019.

“Kebetulan selepas itu kita berhadapan dengan pelaksanaan PKP, namun kerja-kerja di tapak bina sepanjang PKP dengan pelbagai kekangan tetap diteruskan dengan kadar kemajuan sekarang ialah 11 peratus berbanding 32.7 peratus mengikut jadual asal.

“Ia menunjukkan kemajuan projek adalah lambat daripada jadual asal, namun kontraktor layak memohon Lanjutan Tempoh Masa (EOT),” katanya.

Julaihi berkata demikian pada sidang media selesai lawatan dan taklimat Projek Pembinaan Jambatan Batang Rambungan di pejabat tapak projek di Rambungan dekat sini hari ini.

Menurut Julaihi, Jambatan Batang Rambungan yang merupakan salah satu laluan di jalan Pesisir Sarawak adalah sangat penting.

Katanya, ia amat dinantikan penduduk-penduduk di Lundu, Sematan dan Kuching khususnya bagi mereka yang sering berulang alik dari Kuching ke Lundu dan Sematan.

“Kita hendak memastikan pembinaan semua jambatan di laluan Jalan Pesisir terus dilaksanakan dan ini adalah usaha Kerajaan Sarawak untuk melengkapkan pembinaan Jalan Pesisir,” ujar beliau.

Dalam pada itu, Julaihi berkata pihak kontraktor adalah layak untuk menuntut EOT untuk mendapatkan penjadualan semula tarikh sepatutnya siap projek.

Projek ini menelan kos RM98.5 juta dengan panjang keseluruhan 560 meter, dua lorong sehala. Tempoh pembinaan 36 bulan atau tiga tahun.

Apabila jambatan ini siap kelak, perjalanan melalui Jalan Lundu-Sempadi ini tidak lagi terhad mengikut masa operasi feri dan tempoh perjalanan dari bandar raya Kuching dapat dipendekkan.

Turut hadir Setiausaha Tetap Kementerian Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan Datu Safri Zainuddin. — DayakDaily