Jumlah kerugian jenayah komersil meningkat hampir 54 peratus di Sarawak

Ramli(tiga dari kanan) merasmikan Hari Bersama Pelanggan Dan Pelancaran Op Selamat Bersempena Perayaan Hari Krismas 2019 di Dewan Komuniti Siburan.

Oleh Chris Bishop

KUCHING, Dis 18: Jumlah kerugian jenayah komersil di Sarawak dalam tempoh 1 Januari hingga 10 Disember 2019 mencatatkan peningkatan sebanyak RM40.02 juta atau 53.29 peratus.

Pesuruhjaya Polis Sarawak, Datuk Ramli Din berkata, keseluruhan kerugian bagi tempoh terebut adalah RM115.11 juta jika dibandingkan RM75.09 juta untuk tempoh yang sama pada 2018.


“Kes-kes jenayah komersil yang melibatkan mangsa paling ramai di Negeri Sarawak adalah tipu pinjaman wang tidak wujud dengan 209 kes dan membabitkan kerugian RM2.34 juta.

“Ini berlaku kerana pada masa sekarang adalah sukar untuk mendapatkan pinjaman dari institusi kewangan, maka timbul sindiket-sindiket ini.

“Sindiket menawarkan pinjaman wang yang menarik tetapi individu yang ingin membuat pinjaman perlu terlebih dahulu membayar sejumlah wang kepada sindiket dan akhirnya tertipu,’katanya.

Ramli berkata demikian pada perasmian Hari Bersama Pelanggan Dan Pelancaran Op Selamat Bersempena Perayaan Hari Krismas 2019 di Dewan Komuniti Siburan hari ini.

Tambah beliau, jenayah komersil kedua terbanyak adalah ‘Macau scam’ dan telah mencatatkan 130 kes dengan kerugian RM9.10 juta.

“Seterusnya adalah ‘Love scam’ dengan 83 kes dan telah mencatatkan kerugian sebanyak RM7.29 juta.

“Penipuan pembelian di Internet juga banyak berlaku dan telah mencatatkan 70 kes dengan kerugian sebanyak RM935,000.

“Manakala tipu pelaburan mencatatkan 64 kes dengan kerugian sebanyak RM7.56 juta dalam tempoh tersebut,’ujar beliau.

Pihak polis terutama Jabatan Siasatan Jenayah Komersil(JSJK) menurut Ramli telah membuat sebanyak 529 tangkapan bagi tahun 2019.

Katanya, seramai 655 orang (termasuk dari kes-kes tahun sebelumnya) telah dituduh di Mahkamah.

Pertuduhan melibatkan 582 kertas siasatan dan jumlah pertuduhan keseluruhan adalah sebanyak 1,906.

Justeru, Ramli berharap orang ramai tidak tertipu lagi dengan kumpulan-kumpulan yang mencari peluang untuk mencari mangsa di Internet. — DayakDaily