Jumlah jenayah siber melibatkan mangsa wanita membimbangkan — Fatimah

Dato Sri Fatimah Abdullah

KUCHING, 28 Nov: Jumlah jenayah siber melibatkan wanita semakin membimbangkan, kata Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak Dan Kesejahteraan Komuniti Dato Sri Fatimah Abdullah.

Bagi tempoh 2022 sehingga Oktober 2023, katanya, Jabatan Siasatan Jenayah Komersil, Ibu Pejabat Kontijen Sarawak merekodkan sebanyak 1,391 kes iaitu 52 peratus daripada 2,682 kes jenayah siber adalah mangsa wanita.

“Justeru, Anti-Scam Literacy (ASL) diperkenalkan untuk memberi kesedaran tentang jenayah siber.


“Kursus ini telah diadakan di Bintulu dan Kuching yang dihadiri oleh 402 peserta,” kata Fatimah dalam ucapan penggulungan kementerian pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) di Kompleks DUN hari ini.

Tambah beliau, kementeriannya melalui Jabatan Wanita Dan Keluarga Sarawak (JWKS) akan terus berkolaborasi dengan rakan-rakan strategik bagi memperkasa kemandirian diri wanita Sarawak.

Katanya, ia termasuk melestarikan keluarga melalui inisiatif-inisiatif keterangkuman inovasi sosial seiring dengan aspirasi PCDS 2030 bagi sektor perkhidmatan sosial. — DayakDaily