Julaihi: Pembinaan jalan ambil kira keperluan hubungkan semua kawasan penempatan

Datuk Julaihi Narawi

KUCHING,12 Nov: Keperluan untuk menghubungkan semua kawasan penempatan yang berselerak di Sarawak menjadi antara faktor utama diambil kira kerajaan sebelum pelaksanaan sesebuah projek pembinaan jalan di negeri itu.

Menteri Muda Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan Sarawak, Datuk Julaihi Narawi berkata pada ketika ini Sarawak mempunyai lebih daripada 6,000 kawasan penempatan yang berselerak di seluruh negeri itu.

“Oleh sebab itulah kerajaan Sarawak dibawah kepimpinan Gabungan Parti Sarawak (GPS) mempunyai ‘rural connectivity programme’ (RCP) antaranya RCP di kawasan Jalan Pesisir dan RCP di Jalan Utama Kedua.

“Jadi maksudnya kita cuba menghubungkan penempatan yang ada di seluruh Sarawak dan ini agenda pembangunan luar bandar yang amat penting yang diambil kira oleh GPS Sarawak,” katanya ketika menjawab pertanyaan lisan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Balingian, Abdul Yakub Arbi.

Beliau berkata, pembinaan sesuatu jalan itu juga turut mengambil kira pembukaan kawasan baharu serta aliran trafik di kawasan jajaran jalan yang bakal di bina terbabit.


Katanya, jalan raya yang bakal dibina tersebut pasti membolehkan pengguna di kawasan terlibat memandu dengan selesa dan selamat dalam masa yang singkat tanpa berlaku sebarang masalah kesesakan.

“ini adalah antara faktor penting yang diambil kira apabila kita membina jalan raya di Sarawak,” katanya.

Menurut Julaihi, kerajaan membelanjakan antara RM4.7 juta hingga 12.5 juta untuk anggaran kos pembinaan bagi satu kilometer (KM) jalan bergantung kepada lokasi dan jenis standard jalan.

“Bagi jalan berturap berbukit bukau dan pergunungan, anggaran bagi 1km jalan adalah antara RM6.3 juta hingga RM10.7 juta mengikut jenis standard jalan.

“Sementara itu bagi jalan berturap untuk tanah rata, anggaran bagi 1km jalan adalah antara RM4.7 juta hingga RM10.4 juta mengikut jenis ‘standard’ jalan.

“Manakala bagi jalan berturap untuk tanah gambut, anggaran bagi 1km jalan adalah antara RM5.7 juta hingga RM12.5 juta mengikut jenis ‘standard’ jalan,” katanya. — DayakDaily