Juanda: ‘Resident of State’ kukuhkan autonomi Sarawak

Dato Juanda Jaya

Oleh Chris Bishop

KUCHING, 10 Nov: Pernah ada individu warga negara Australia yang kesetiaannya kepada negeri diragui menjadi wakil rakyat, kata ADUN
Jemorang Dr Juanda Jaya.

Justeru katanya pada perbahasan menyokong usul pindaaan undang-undang had umur pengundi dari 21 ke 18 tahun di Persidangan Dewan Undangan Negeri(DUN) hari ini, perkataan ‘resident of state’ adalah satu usaha mengukuhkan lagi autonomi Sarawak.

“Kalau sudah jadi warganegara lain, sudah angkat sumpah setia kepada negara lain, macam mana kita yakin tentang kesetiaan beliau kepada negara dan negeri ini.

“Begitu juga kalau mereka yang menjadi residen dan penduduk tetap di negeri lain, tiba-tiba mahu menjadi wakil rakyat dalam dewan yang mulia ini, macam mana kita tahu kesetiaan beliau kepada negara dan negeri ini,’katanya.

Berhubung persoalan takrifan ‘resident of state’ yang dibangkitkan pembangkang, Juanda yakin ADUN Asajaya Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah akan menjelaskannya dalam tempoh persidangan kelak.

Mengulas lanjut, beliau berkata pindaan had umur pengundi dari 21 ke 18 tahun adalah wajar dilaksanakan.

Katanya, ia memberi peluang kepada mereka yang mencapai usia 18 tahun terlibat dalam pilihanraya bagi menentukan halatuju negeri ini.

Pada perbahasan usul tersebut, Speaker DUN Datuk Amar Mohd Asfia Awang Nassar telah menangguhkan pindaan kepada undang-undang Perlembagaan Negeri 2020.

Menurut Asfia, ia melibatkan tafsiran ‘resident of state’ dalam Artikel 16 Perlembagaan Sarawak yang harus diperhalusi sebelum
dibahaskan sekali lagi.

Namun beliau(Asfia) memaklumkan bahawa usul yang dikemukan oleh Abdul Karim (Menteri Belia dan Sukan) itu tidak ditarik balik.

ADUN Kota Sentosa Chong Cheng Jen terdahulu telah berbahas dan membantah cadangan pindaan berdasarkan tafsiran ‘resident’.

Menurut Chong, pindaan itu jika diluluskan nanti akan membenarkan bukan warga Sarawak dipilih sebagai wakil rakyat. – DayakDaily