JPJ keluar larangan kenderaan berat sempena Gawai-Raya

Jadual Larangan Pemanduan Kenderaan Barangan semasa Ops Hari Raya Aidilfitri, 2019, yang disiarkan di laman Facebook JPJ Negeri Sarawak.

KUCHING, 25 Mei: Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Sarawak telah melarang kenderaan berat menggunakan jalan raya sepanjang tempoh perayaan Gawai dan Hari Raya Aidilfitri.

Menurut satu kenyataan yang dimuat naik di laman Facebook JPJ Negeri Sarawak, tempoh larangan bagi kenderaan berat akan dikuatkuasakan pada Jun 1-3 dan diikuti Jun 8-9.

“Sebanyak tiga kategori dalam jadual larangan pemanduan kenderaan terbabit iaitu Kategori satu (1) atau sepanjang masa, yang membabitkan lori pengangkutan kenderaan, trak tunda ketika tidak menunda, lori jongket (tipper) yang berat dengan muatan (BDM) melebihi 7,500 kg.


“Selain itu adalah pole trailer, lori tangki simen, platform trailer, lori balak, jentera berat beroda dan traktor.

“Juga termasuk dalam kategori terbabit ialah lori BDM melebihi 7,500 kg bagi pengangkutan barangan simen, besi keluli, batu, pasir, tanah dan bahan binaan yang lain serta amang, bijih timah, arang batu dan bahan galian yang lain,” jabatan tersebut berkata.

Bagaimanapun jentera berat beroda, kren pengerak dan trak tunda adalah diberi pengecualian melaksanakan kerja-kerja kecemasan dan mana-mana kenderaan barangan yang tidak dalam jadual adalah dibenarkan sepanjang tempoh larangan.

Kategori 2 pula adalah larangan pemanduan dari jam 12 tengah malam sehingga jam 8 pagi, membabitkan lori kontena yang mengangkut barangan dan selain lori kontena yang mengangkut barang dari pelabuhan atau lapangan terbang ke kawasan industri dalam negeri dan sebalik.

Juga termasuk dalam kategori terbabit ialah lori mengangkut barang elektronik atau elektrik, atau bahan industri seperti barangan berasas kimia, sawit dan getah dari pelabuhan atau lapangan terbang ke kawasan industri dalam negeri dan sebaliknya, serta lori kargo tanpa muatan dalam perjalanan pulang.

Kategori 3 ialah larangan pemanduan dari jam 6 petang sehingga jam 6 pagi dalam jarak 25 km dari tapak pembinaan dan juga tertakluk kepada had operasi masa yang dibenarkan di jalan tertentu iaitu membabitkan kren bergerak dan lori pembancuh simen. — DayakDaily