JKNS: Terus kekal di rumah jika mempunyai gejala jangkitan Covid-19

Dr Chin Zin Hing

KUCHING, 23 Jan: Individu yang mempunyai gejala jangkitan Covid-19 dinasihat untuk kekal duduk di rumah dan tidak bersikap mementingkan diri mereka sendiri.

Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Sarawak (JKNS) Dr Chin Zin Hing berkata, golongan ini seharusnya mengambil peduli terhadap kesejahteraan, keselamatan orang lain, terutamanya ahli keluarga terdekat serta rakan-rakan mereka.

Menurut beliau, kebanyakkan kes-kes terkini menunjukkan punca jangkitan Covid-19 merebak dalam komuniti disebabkan oleh golongan yang bekerja dalam komuniti itu sendiri.


“Masih terdapat kes-kes berpunca daripada rakan sekerja yang saling menjangkiti rakan lain sama ada semasa di tempat kerja atau melalui perjumpaan sosial mereka.

“Oleh itu, saya ingin menggesa mana-mana individu yang sudah menunjukkan tanda-tanda gejala seperti sakit tekak, hilang deria rasa dan bau, malah, tidak pergi mendapatkan rawatan, agar tidak bersikap mementingkan diri sendiri,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, individu terlibat sekiranya merasakan diri kurang sihat serta mempunyai gejala walau gejala ringan baru mengambil tindakkan pencegahan bagi mengelakan mereka menjadi punca jangkitan Covid-19 kepada orang lain.

Antaranya, melakuan penjarakkan fizikal dengan orang sekeling mereka, tidak keluar, sebaliknya, duduk sahaja di rumah serta asingkan diri di dalam sebuah bilik berasingan dan segera pergi berjumpa dengan doktor dengan mengikuti semua nasihat kesihatan sepanjang perjalanan ke klinik.

Katanya, individu terlibat  boleh keluar dari kediaman mereka jika perlu berjumpa dengan doktor atau dipanggil untuk menjalani ujian swab oleh Pejabat Kesihatan Bahagian.

“Kita juga nasihatkan individu bergejala ini untuk tidak pergi ke tempat kerja atau menghadiri sebarang perjumpaan bersemuka di tempat awam terutama semasa musim perayaan.

“Sentiasa dapatkan bantuan ahli keluarga atau rakan untuk membuat pesanan melalui perkhidmatan makanan bawa pulang (take away) dan tidak menghantar anak anda ke pusat asuhan atau sekolah. Cukup sekadar maklumkan kepada guru mereka,” katanya.

Dr Chin berkata, masyarakat seharusnya tidak hanya meletakkan tanggungjawab sepenuhnya kepada Jawatankuasa Pengurusan Bencana dan pihak Jabatan Kesihatan Negeri untuk mengawal penyebaran Covid-19.

Tindakan itu katanya hanya akan menyukarkan lagi sebarang usaha untuk melandaikan lekuk jangkitan Covid-19 di negeri ini.

“Berilah perhatian anda dalam perkara ini kerana hanya dengan kerjasama anda, kita akan dapat mengawal wabak pandemik Covid-19 di Sarawak,” katanya. — DayakDaily