Dr Adham: 64,046 kanak-kanak dijangkiti Covid-19

Kanak-kanak just mesti mengamalkan penjarakkan fizikal di tadika. Fail Foto

KUCHING, 19 Mei: Seramai 64,046 kanak-kanak dijangkiti Covid-19 dalam tempoh setahun lalu, kata Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Adham Baba.

Memetik laporan Utusan Malaysia, dalam tempoh tersebut Dr Adham turut berkata ia juga telah mengorbankan lapan petugas kesihatan termasuk dua doktor pakar.

“Jika itu masih tidak menakutkan masyarakat, saya memberi amaran bahawa gelombang ketiga yang sedang berlaku ketika ini lebih ganas dan kritikal,” katanya.


Ujar Dr Adham lagi, golongan kanak-kanak tidak terkecuali kerana mereka merupakan golongan yang mudah terdedah.

Dalam pada itu, menurut ulasan dari kampus kesihatan Universiti Sains Malaysia (USM), kebanyakan kanak-kanak yang mempunyai jangkitan Covid-19 berasal daripada kluster keluarga yang sama sebagaimana penyakit epidemik terdahulu iaitu SARS-CoV.

Laporan menyebut, kanak-kanak berkemungkinan tidak mempunyai gejala atau tidak akan mendapat gejala yang teruk sebagaimana jangkitan Covid-19 pada orang dewasa.

Oleh itu, langkah-langkah yang perlu diambil oleh ibubapa adalah memilih penjaga atau pengasuh secara teliti serta menghadkan hubungan dengan orang yang berisiko

Ibu bapa juga harus membasuh tangan secara kerap dan menjarakkan diri dengan orang yang sakit.

Sekiranya terdapat masalah pernafasan, wajah bertukar menjadi pucat atau kebiruan, maka hendaklah berjumpa dengan doktor.

Elak menggunakan ubat penahan sakit seperti ibuprofen atau menggunakan nebuliser.

Pastikan penghidratan berada pada tahap optimum dan kesakitan dirawat dengan sebaiknya. — DayakDaily.