JKM agih 5,428 bantuan makanan ke Kampung Sungai Ud dan Kampung Sungai Ud Hilir pada Ahad

Sebanyak 5,428 paket makanan yang ditempatkan di Dewan Masyarakat Dalat sedia untuk diagihkan kepada 2,714 penduduk.

KUCHING, 30 JAN: Kerajaan menerusi Jabatan Kebajikan Masyarakat(JKM) akan mengagihkan bantuan makanan kepada penduduk di Kampung Sungai Ud dan Kampung Sungai Ud Hilir di Dalat mulai esok.

Sebanyak 5,428 paket makanan akan diagihkan kepada penduduk untuk kegunaan dalam tempoh dua minggu iaitu sepanjang pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersasar yang bermula 27 Januari lepas.

JKM juga turut membekalkan lampin dan susu kepada kanak-kanak berusia 4 tahun ke bawah mengikut senarai permohonan yang diterima.


PKP Bersasar dilaksanakan di kedua-dua kampung bagi mengawal penularan Covid-19 dan pelaksanaan Pengesanan Kes Aktif (ACD).

Ujian calitan membabitkan 2,714 penduduk telah dilakukan pada 28 Januari di Balai Raya Kampung Sungai Ud dan mereka dinasihatkan duduk di rumah sehingga keputusan calitan diketahui.

Dalat kini berada dalam zon merah dengan keseluruhan 89 kes positif tempatan telah direkodkan di sepanjang 14 hari lepas.-DayakDaily