PKR Baram cadang pemimpin tinggi kerajaan terima suntikan vaksin Covid-19 dahulu

Covid-19 ... Clusters cause spike in cases.

KUCHING, 30 JAN: Parti Keadilan Rakyat(PKR) Cabang Baram mencadangkan agar suntikan vaksin Covid-19 dilakukan terhadap Yang di-Pertuan Agong, sultan, Yang di-Pertuan Negeri dan pemimpin pemimpin tinggi kerajaan terlebih dahulu.

Ketuanya Roland Engan berkata, ia demi kelangsungan segala urusan pentadbiran negara dan negeri termasuk ekonomi dan sebagainya.

“Berasaskan kebimbangan orang ramai, saya ingin mencadangkan agar suntikan vaksin ini dibuat terhadap pemimpin-pemimpin dalam Kerajaan seperti Yang DiPertuan Agong, sultan-Sutan, Yang DiPertua Negeri,perdana menteri, ketua menteri atau menteri besar.


“Kemudiannya menteri-menteri, ketua setiausaha, pengarah babatan dan semua yang berjawatan tinggi yang menerajui pimpinan pentadbiran negara dan negeri sehingga ke peringkat kerajaan tempatan, bahagian,daerah dan kampung-kampung.

“Mereka perlu dilindungi segera untuk membolehkan pentadbiran di semua peringkat berjalan dengan lancar,’katanya menerusi kenyataan hari ini.

Selepas itu tambah Roland, rakyat biasa khususnya penjawat awam,pemilik perniagaan, pekerja swasta dan rakyat kawasan pedalaman akan diberi suntikan vaksin tersebut.

Beliau mempersoalkan rasional disebalik keputusan untuk memberikan suntikan terlebih dahulu kepada rakyat yang tinggal di kawasan pedalaman.

Menerusi kenyataan itu, Roland juga berharap pihak Kerajaan dapat menjelaskan kepada rakyat sama ada suntikan vaksin ini diwajibkan semasa darurat atau dalam tempoh Perintah Kawalan
Pergerakan(PKP).-DayakDaily