JHS pelopori penggunaan teknologi ‘remote sensing’ urus sumber asli negeri

Abang Johari merakamkan gambar kenangan di atas pesawat DA42-MPP yang akan di gunakan oleh SADU JHS dalam operasi pemantauan dan pemetaan sumber asli di Sarawak.

MIRI, 4 Nov: Jabatan Hutan Sarawak (JHS) melangkah setapak lagi dalam pengurusan mampan sumber asli dengan inisiatif penubuhan dan penjenamaan semula Systems Application and Development Unit JHS kepada Sarawak Aerial Detection Unit (Sadu) yang beroperasi berasaskan teknologi ‘remote sensing’ seperti penggunaan teknologi hiperspektral.

Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg berkata, mandat yang diamanahkan kerajaan negeri kepada unit itu pada 2014 untuk membantu membanteras aktiviti pembalakan haram telah menjadi permulaan kepada Sadu melangkah ke fasa seterusnya sekali gus memanfaatkan kepakaran dan pengalamannya dalam teknologi terbabit.

Katanya, unit tersebut yang ditubuhkan pada 2008 pada asalnya berperanan untuk membangunkan aplikasi berasaskan teknologi hiperspektral serta geospatial bagi kegunaan penyelidikan di JHS serta boleh diguna sama agensi kerajaan lain bukan hanya di Sarawak, turut dikembangkan ke Sabah serta Semenanjung Malaysia.


“Dalam Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK-11), Sadu mendapat peruntukan daripada Kementerian Tenaga dan Sumber Asli (KeTSA) untuk melaksanakan satu projek khusus untuk menghasilkan sebuah sistem yang boleh melaksanakan misi pemetaan serta pemantauan udara.

“Pelaksanaan projek ini amat signifikan kerana perkongsian aset, kepakaran dan sumber dikembangkan ke seluruh negara,” katanya dalam satu sidang media selepas merasmikan pelancaran unit Sadu JHS di sini hari ini.

Abang Johari (empat dari kanan) melancarkan Sadu JHS di Miri secara simbolik.

Beliau berkata, perolehan projek tersebut dilaksanakan secara ‘turnkey’ (reka dan bina) dengan tiga buah negara iaitu Austria sebagai pembekal pesawat udara, Finland sebagai pembekal sensor hiperspektral dan Kanada sebagai pembekal sensor pemantauan udara.

Kerjasama tersebut, ujar beliau, melibatkan pembangunan satu sistem yang direka khas (‘customised airborne system’) dilengkapi peralatan berdasarkan keperluan misi seperti pemantauan dan pemetaan kawasan sumber asli.

“Rekabentuk modular yang diterapkan dalam sistem ini membolehkan ianya disesuaikan dengan pelbagai muatan ‘sensor’ (‘multiple sensor payload configuration’) dan mempunyai fleksibiliti untuk digabungkan dengan komponen sistem penyampaian maklumat (‘telemetry and tactical information delivery system’) dalam pelbagai persekitaran operasi,” katanya.

Tambah Abang Johari, Sadu yang dijenamakan semula itu dibarisi dengan pasukan kerja teknikal khas yang memberikan perkhidmatan data geospatial udara berasaskan teknologi hiperspektral untuk pemantauan dan pengurusan sumber asli negara.

Unit tersebut juga, ujarnya, dapat memberi bantuan dari aspek maklumat geospatial sekiranya berlakunya bencana alam, pemantauan sempadan negara serta pelbagai misi kepada agensi kerajaan lain di Sarawak, Sabah serta Semenanjung Malaysia.

Kata Abang Johari, JHS sebagai pelopor teknologi hiperspektral merupakan satu-satunya agensi kerajaan di negara ini yang mempunyai keupayaan dan kemahiran mengendali serta menggunakan sistem udara berteknologi canggih tersebut.

“Ini adalah selari dengan visi dan misi kerajaan negeri iaitu a ‘world class civil service’ dalam sektor teknologi digital sekaligus menyumbang kepada inisiatif ‘Digital Government’ oleh kerajaan negeri Sarawak,” katanya. — DayakDaily