Jaul: Ekonomi negeri tumbuh sederhana dalam RMK11

Jaul Samion

KUCHING, 11 Nov: Ekonomi negeri mencatatkan pertumbuhan yang sederhana walaupun berhadapan dengan persekitaran global yang tidak menentu dalam tempoh Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK11).

Menurut Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Amar Jaul Samion, sektor perkhidmatan dan pembuatan terus menjadi penyumbang utama kepada ekonomi.

“Pada hakikatnya, semua sektor masih berhadapan dengan cabaran yang menjejaskan keupayaan untuk mencapai potensi sepenuhnya serta menghadapi cabaran terutama dalam teknologi, daya saing firma, akses pasaran dan tadbir urus.


“Negara kita perlu bangkit daripada pandemik Covid-19. Ini memerlukan tindakan yang proaktif bagi merancakkan pembangunan ekonomi negara dan kesejahteraan rakyat,” kata Jaul.

Beliau berkata demikian pada Perasmian Forum Amalan Baik Peraturan (GRP) Sarawak 2021 di Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC) Sarawak menerusi aplikasi Zoom hari ini.

Tambah Jaul, tempoh 2 tahun menghadapi pandemik Covid-19 sememangnya mencabar untuk semua khususnya di Perkhidmatan Awam Negeri Sarawak (Pans).

Namun katanya, cabaran pandemik ini harus dilihat sebagai peluang untuk penjawat awam di Pans supaya berfikiran kreatif, kritis dan konstruktif.

“Ini untuk mengubah cara kerja konvensional kepada kaedah baharu yang lebih inovatif di luar kelaziman, bersesuaian dengan situasi semasa dan norma baharu,” ujar beliau.

Oleh itu, tegas Jaul lagi, kerajaan Sarawak telah melancarkan Strategi Pembangunan Post-Covid-19 (PCDS) 2030 pada Julai yang lepas.

Katanya, pelbagai strategi telah dirancang di dalam PCDS 2030 untuk mencapai aspirasi Sarawak untuk menjadi sebuah negeri maju menjelang 2030 berasaskan data dan inovasi.

“Hasilnya kelak dapat dinikmati semua rakyat secara terangkum di samping menjamin kelestarian alam sekitar dan kemakmuran ekonomi yang lebih mampan.

“Dasar yang mantap di peringkat sektor adalah penting bagi pembangunan ekonomi yang menyumbang kepada pewujudan pekerjaan dan pertumbuhan yang lebih tinggi,” ujarnya.

Sementara itu tambah Jaul, tadbir urus yang kukuh berserta dasar dan undang-undang yang komprehensif, fleksibel, dinamik dan responsif yang dapat disesuaikan dengan perubahan trend global.

Beliau percaya ia akan memudahkan sektor ekonomi beralih kepada rantaian nilai yang lebih tinggi dan berupaya menarik pelaburan berkualiti.

Berhubung forum itu, Jaul yakin ia bermanfaat supaya perkhidmatan awam kerajaan Negeri Sarawak bertindak dengan lebih giat untuk mewujudkan suasana yang mesra perniagaan. — DayakDaily