Jangan terpengaruh dengan mesej tular di media sosial — SPR

Tan Sri Mohd Hashim Abdullah

KUCHING, April 26: Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR) meminta orang ramai agar tidak mudah terpengaruh dan mempercayai mesej-mesej tular yang tidak sahih dan berniat mengelirukan pengundi berkaitan proses pilihan raya yang ditularkan di media sosial sejak akhir-akhir ini.

Pengerusi SPR, Tan Sri Mohd Hashim Abdullah berkata, antara mesej-mesej yang ditularkan di media sosial baru-baru ini seperti visual kaedah penandaan kertas undi yang dijalankan oleh institusi yang tidak berkaitan dengan SPR.

Jelas beliau, antaranya ialah klip video kononnya kertas undi dibawa keluar oleh petugas dari balai polis tanpa kebenaran, klip video warga asing menaiki bas yang disyaki sebagai pengundi hantu, teks berkaitan kertas undi mempunyai titik hitam, pautan semakan daftar pemilih yang bertujuan mencuri data peribadi, kaedah pengundian yang dimanipulasi dan sebagainya yang disifatkan sebagai berita tidak benar dan bertujuan mengelirukan orang ramai.

“Dalam hal ini SPR menegaskan bahawa kaedah yang betul untuk penandaan pada kertas undi adalah tanda pangkah `X’ di dalam salah satu petak mana-mana calon yang dipilih oleh pengundi pada kertas undi berkenaan.

“Walaupun tanda-tanda lain masih diterima, namun ianya bergantung kepada pertimbangan oleh Ketua Tempat Mengundi yang akan memutuskan sama ada penandaan itu dalam kategori undi diterima, undi ragu atau undi ditolak,” katanya dalam satu kenyataan media yang dikeluarkan semalam.

Mohd Hashim menambah, bagi kemudahan pengundi, poster panduan cara penandaan kertas undi dengan betul turut dipaparkan pada setiap petak undi bagi memberi panduan kepada pengundi.

Katanya, selain itu, mesej tular yang kononnya membabitkan seseorang yang telah menghadiri taklimat Ejen-Ejen Calon (PACABA) bahawa terdapat beberapa perubahan kaedah berkaitan proses pada hari mengundi juga adalah tidak benar.

“SPR menegaskan bahawa semua proses pada hari pengundian masih sama di mana terdapat barung semakan yang disediakan oleh SPR bagi kemudahan pengundi membuat semakan daftar pemilih.

“Bagi pengundi yang telah membuat semakan lebih awal melalui aplikasi Myspr Semak atau secara dalam talian, mereka boleh terus menuju ke tempat mengundi (saluran) jika telah mengetahui maklumat saluran mengundi mereka,” katanya.

Tambahnya, SPR juga sentiasa memastikan pengundi memasuki saluran yang betul dan tindakan mencelup jari hanya akan dilakukan apabila nama pengundi tersebut disahkan terdapat dalam senarai pemilih di saluran berkenaan dan nama masih belum dipotong.

Ujar beliau, sekiranya nama pengundi tersebut tiada dalam senarai pemilih di saluran berkenaan, petugas pilihan raya akan mengarahkannya ke saluran mengundi yang betul.

Selain daripada itu katanya, SPR juga tidak lagi menggunakan pensil dalam urusan pengundian sebaliknya hanya menggunakan pen mata bola sejak 2013 iaitu pada PRU-13 lalu.

“Hanya kerani pengundian pertama sahaja
yang mempunyai pen untuk tujuan menanda pemotongan nama pengundi dalam buku daftar pemilih pilihan raya bagi saluran tersebut.

“Manakala petugas lain tidak dibenarkan mempunyai pen atau pensil untuk mencatat
apa-apa pada kertas undi atau bahagian keratan buku kertas undi,” ujarnya lagi.

Sementara itu, beliau menjelaskan, setiap kertas undi yang dicetak akan disemak dan diperiksa dengan teliti oleh pegawai SPR untuk memastikan ianya bersih dan tiada sebarang tanda yang tidak sepatutnya seperti titik hitam atau sebagainya sebelum ianya diedarkan untuk pengundian.

Selain itu katanya, pengundi juga dinasihatkan sentiasa berhati-hati agar tidak mengotorkan kertas undi dengan sengaja sama ada dengan dakwat dan sebagainya.

“Sekiranya kertas undi didapati rosak dengan tidak sengaja, pengundi hanya boleh meminta penukaran kertas undi lain hanya sekali sahaja.

“Untuk makluman, petugas pilihan raya adalah terdiri daripada orang awam sentiasa menjalankan tugas mereka dengan profesional, telus dan adil dengan disaksikan oleh wakil-wakil calon yang dilantik oleh calon/parti politik yang bertanding semasa proses pengundian dijalankan di saluran mengundi.

“Oleh yang demikian, pengundi tidak perlu khuatir terhadap cubaan manipulasi atau penipuan seperti yang ditularkan itu.

“SPR menasihatkan agar pengundi tidak terpengaruh dan percaya dengan mesej-mesej tular yang memberi maklumat salah yang bertujuan untuk mengelirukan serta menimbulkan persepsi negetif terhadap petugas pilihan raya,” katanya lagi.

Tegas Mohd Hashim lagi, SPR menganggap penularan mesej-mesej dalam bentuk teks, visual dan video tersebut oleh pihak tertentu itu sebagai satu tindakan tidak bertanggungjawab dan berniat untuk mengelirukan pengundi dan menimbulkan prejudis terhadap SPR.

“Dalam hal ini SPR akan bekerjasama
dengan Polis di-Raja Malaysia (PDRM) dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) jika didapati penyebaran mesej tersebut palsu dan tidak benar,” katanya. — DayakDaily