Imigresen bakal perkenal ‘EZ Pass’

Datuk Seri Mustafar Ali

KUCHING, April 25: Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) merancang untuk menggunakan ‘EZ Pass’ bagi melancarkan pergerakan antara Sabah dan Sarawak dengan Brunei.

Ketua Pengarah JIM, Datuk Seri Mustafar Ali berkata, ia sekali gus mengurangkan kesesakan khususnya di pintu sempadan.

Jelas beliau, menerusi inisiatif itu, pemegang pasport pada permulaan mungkin hanya perlu mendaftar dahulu dengan JIM.

“Ia adalah bagi membolehkan mereka melintasi sempadan dengan menggunakan imbasan kod QR yang disertakan bersama pasport masing-masing.

“Inisiatif ‘EZ Pass’ ini digerakkan susulan perbincangan antara Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dengan Sultan Brunei Sultan Hassanal Bolkiah dalam rundingan tahunan pemimpin dua negara tahun lalu,” katanya di sini hari ini.

Sebelum itu, beliau menyampaikan anugerah perkhidmatan cemerlang kepada warga JIM Sarawak di Dewan Bahasa dan Pustaka di sini.

Mengulas lanjut, Mustafar memberitahu, taklimat mengenai ‘EZ Pass’ itu sudah dibentangkan kepada Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Dr Ali Hamsa baru-baru ini.

Katanya, insiatif berkenaan akan dicadangkan kepada kerajaan tidak lama lagi.

“Kita memang mahu penggunaan ‘EZ Pass’ ini dilaksanakan secepat mungkin.

“Namun, isu-isu seperti prasarana kaunter, isu kos dan sebagainya perlu dibincangkan lagi kerana kesepakatan di pihak Brunei juga perlu ada khususnya mengenai sistem yang akan digunakan,” ujarnya lagi. — DayakDaily