Lelaki hilang ditemui mati lemas

Operasi SAR yang dilakukan menemui mangsa.

BINTULU, April 26: Misteri kehilangan seorang lelaki yang hilang sejak empat hari lalu selepas kapal jenis ‘landing craft’ yang membawa empat buah lori muatan sawit karam di Sungai Kuala Pandan di sini terungkai apabila mangsa ditemui mati lemas petang semalam.

Mayat mangsa, Mohd Dzulhiqmi Dephen, 23, dari Sabah ditemui oleh pasukan mencari dan menyelamat (SAR) kira-kira pukul 2.45 petang.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bintulu, Mohamad Meramit berkata, operasi SAR ditamatkan pada pukul 3 petang sejurus mayat mangsa diserahkan kepada pihak polis.


“Mayat mangsa kemudian dibawa ke hospital untuk tindakan lanjut,” ujarnya ketika dihubungi hari ini.

DayakDaily sebelum ini melaporkan, kejadian kira-kira pukul 12.30 tengah malam itu mengakibatkan mangsa, Mohd Dzulhiqmi dilaporkan hilang.

Berdasarkan maklumat diterima, semasa kejadian terdapat lapan orang menaiki kapal tersebut termasuk mangsa.

Bagaimanapun katanya, kapal yang membawa empat lori sawit itu tiba-tiba karam semasa tiba di lokasi kejadian.

Tujuh individu lain berjaya terjun sungai menyelamatkan diri, manakala mangsa gagal berbuat demikian. — DayakDaily