Jangan terlampau emosi, gesa Chong kepada pemimpin GPS


Oleh Chris Bishop

KUCHING, Jun 23: Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Sarawak Chong Chieng Jen menggesa pemimpin dalam Gabungan Parti Sarawak (GPS) tidak terlampau emosi dengan kenyataan Menteri Kewangan Lim Guan Eng pada Jumaat lepas.

Mempertahankan kenyataan Lim, Chong berkata Setiausaha Agung DAP Pusat itu adalah Menteri Kewangan Malaysia dan memiliki banyak informasi serta pengetahuan menguruskan kewangan negara dan negeri.


Lim memiliki pengalaman 10 tahun menguruskan kewangan Kerajaan Pulau Pinang, kata Chong yang juga Pengerusi Parti Tindakan Demokratik (DAP) Sarawak.

“Saya ingin memberitahu Abang Johari (Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg) dan pemimpin dalam GPS supaya janganlah terlampau emosi dengan perkara ini.

“Kenyataan Guan Eng mungkin tak menyenangkan dan pahit untuk kebanyakan orang tetapi ianya ada kebenaran yang seharusnya diambil kira.

“Berfikirlah dengan rasional dan waras,” kata Chong di sidang media di Ibupejabat DAP Negeri di sini hari ini.

Pada satu program anjuran DAP Sarawak di Kuching Jumaat lepas, Lim dalam ucapan beliau mengingatkan rakyat Sarawak bahawa negeri ini mungkin bankrap dalam tempoh 3 tahun di bawah pemerintahan GPS.

Katanya, dengan belanjawan tahunan negeri sebanyak RM11 bilion, rizab RM30 bilion Sarawak akan habis dalam masa 3 tahun.

Kenyataan tersebut terus mendapat kritikan daripada pemimpin GPS dan pemimpin parti tempatan Sarawak yang lain.

Abang Johari di satu acara di Mukah kelmarin memberitahu pemberita yang keterangan Lim itu berdasarkan andaian yang Sarawak tidak memiliki pendapatan.

Selain pengurusan kewangan yang cemerlang, kata Abang Johari sebagai Pengerusi GPS, Sarawak memiliki pendapatan daripada pelbagai sumber terutamanya dari minyak dan gas.

Turut segera membidas kenyataan Lim kelmarin ialah Timbalan Ketua Menteri yang juga Presiden Parti Rakyat Sarawak (PRS), Tan Sri James Masing.

Menurut Masing, Lim sepatutnya lebih mengetahui perkara yang sebenar dan bukannya keluar dengan kenyataan yang Sarawak akan bankrap dalam tempoh 3 tahun.

Menurut Masing, kenyataan tidak tepat mengenai kewangan Sarawak itu akan mengugat keyakinan para pelabur dan ianya bertentangan dengan tanggungjawab menteri kewangan yang seharusnya menyakinkan para pelabur untuk melabur di Sarawak. — DayakDaily