Jabatan Siasatan Jenayah Komersil Sarawak buru tiga individu bantu siasatan

PDRM logo.

Oleh Dean Adam

KUCHING, Ogos 9: Jabatan Siasatan Jenayah Komersil Sarawak sedang mengesan tiga individu bagi membantu siasatan berhubung dua kes penipuan dan satu kes pemberi pinjam wang tidak berlesen.

Supt Mustafa Kamal Gani Abdullah berkata paling menarik perhatian adalah kes penipuan pelaburan “cicak tokek” yang melibatkan kerugian kira-kira RM300,000.


Katanya, suspek yang dikehendaki polis dikenali sebagai Jamari Barin, 48, dari Kampung Dagang, Lundu, yang disyaki melakukan kesalahan itu dari Jun 2012 hingga Disember 2017.

Jamari Barin, 48.
Abang Nuzaren Abang Fauzi, 61.

“Suspek kedua yang diburu ialah Abang Nuzaren Abang Fauzi, 61, beralamat di Jalan Depo, Off Jalan Tun Abdul Rahman Yaakub, Petra Jaya, Kuching.

“Suspek ini disyaki terlibat kes penipuan tukar hak milik tanah di Kuching melibatkan kerugian melebihi RM500,000 yang dilakukan antara tahun 2004 hingga 2014.

“Kedua-dua kes ini disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Ong Ka Chun, 27.

Mustafa Kamal menambah, polis juga giat mengesan seorang lelaki iaitu Ong Ka Chun, 27, dari Taman Borneo, Jalan Lapangan Terbang Baru, yang disyaki terlibat dalam kes pemberi wang tidak berlesen.

Katanya, suspek disyaki terlibat dalam kes itu pada Julai lepas dan kes ini disiasat mengikut Seksyen 5(2) Akta Pemberi Pinjam Wang 1951.

Orang awam yang mempunyai maklumat mengenai ketiga-tiga individu diminta menghubungi talian 011-16164349 atau buat laporan di balai polis berhampiran, katanya. — DayakDaily