Penghantar makanan dakwa ‘dikepung’ sila buat laporan polis untuk tindakan segera

Posting di Facebook oleh penghantar makanan terbabit.

KUCHING, 25 April: Lapor segera kepada polis sekiranya menjadi mangsa atau mempunyai maklumat berkaitan jenayah agar tindakan segera dapat diambil.

Ketua Polis Daerah Padawan Supt Abang Zainal Abidin Abang Ahmad berkata tindakan awal seharusnya melaporkan segera kepada polis dan bukan memuatnaik di laman sosial.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai tindakan seorang pengguna Facebook yang juga mendakwa dirinya penghantar makan telah dikepung tiga buah motosikal di kawasan Malihah-Serapi semalam.


Katanya, meskipun sudah 12 jam kenyataan tersebut dimuat naik pada jam 12 tengah hari tadi, namun masih belum ada yang tampil membuat laporan polis.

“Sebaiknya, jika ada kejadian seumpama itu, individu atau mangsa sepatutnya tampil untuk membuat laporan polis bagi memboleh tindakan susulan dapat diambil,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Beliau menasihatkan orang ramai agar terus mempercayai pihak polis dalam menguatkuasakan undang-undang.

“Kita khuatir kenyataan yang dibuat atau ditularkam ke media sosial akan memberikan tanggapan negafif berkenaan tahap keselamatan,” katanya.

Tegasnya, tindakan dibawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 boleh diambil sekiranya didapati tujuan kenyataan tersebut dimuatnaik adalah semata-mata untuk mendapatkan rating dalam media sosial.

Justeu orang ramai boleh tampil menyalurkan maklumat atau melaporkan terus kegiatan jenayah ke bilik gerakan IPD Padawan (082-862233). — DayakDaily