Kumpulan ‘Bezza Eein’ kerap tukar warna kereta untuk lakukan jenayah

Mancha Ata (dua kanan) menunjukkan Perodua Bezza yang digunakan suspek melakukan jenayah.

KUCHING, 21 Dis: ‘Kumpulan Bezza Eein’ yang dipercayai telah melakukan 27 kes pecah kedai berjaya dilumpuhkan pihak polis.

Pesuruhjaya Polis Sarawak Dato Mancha Ata berkata kumpulan terbabit dipercayai menukar warna kereta Perodua Bezza yang digunakan mereka dan memasang nombor pendaftaran palsu setiap kali selapas melakukan jenayah bagi mengelak dikesan pihak berkuasa.

Bagaimanapun, hasil maklumat dan risikan telah berjaya mengesan kumpulan terbabit yang kemudian membawa kepada penangkapan lima suspek termasuk seorang wanita pada 14 Dis baru-baru ini.


“Siasatan awal mendapati kumpulan ini akan memotong mangga pintu menggunakan ‘cutter’ atau menarik ‘roller shutter’ kedai menggunakan kabel yang dipasang di hadapan atau belakang Perodua Bezza.

“Kumpulan ini kemudian akan mencecat kereta Perodua Bezza tersebut dengan pelbagai warna bagi mengelakkan dikesan pihak berkuasa,” katanya dalam sidang media di IPK Sarawak hari ini.

Tambah Mancha, kesemua suspek yang merupakan warga tempatan ditangkap di sebuah rumah di Matang dan turut dirampas ialah sebuah Perodua Bezza milik seorang daripada suspek.

Turut dirampas ialah sebuah motosikal dan Perodua Kancil yang disyaki dicuri serta beberapa barang seperti komputer riba, telefon bimbit dan kabel dipercayai barang curi.

“Dengan tertumpasnya kumpulan ini, telah menyelesaikan sebanyak 27 kes pecah kedia di Kuching, Kota Samarahan, Padawan, Bau dan Sri Aman melibatkan nilai kerugian dianggarkan RM288,872.80,” katanya.

Siasatan lanjut kes dijalankan di bawah Seksyen 457 dan 379A Kanun Keseksaan.

Semakan juga mendapati kesemua suspek yang berusia 18 hingga 36 tahun masing-masing memiliki rekoda jenayah lampau berkaitan dadah. — DayakDaily