IPD Kuching: Tiga pusat operasi judi dalam talian perolehi keuntungan cecah RM810,000 digempur

Ahsmon (tengah) bersama anggotanya menunjukkan dokumen maklumat berkenaan pusat perjudian yang diserbu.

KUCHING, 10 Jan: Seramai 22 orang termasuk 17 warga Indonesia ditangkap dalam tiga serbuan ke atas pusat operasi judi dalam talian dalam tempoh seminggu oleh Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuching.

Ketua Polis Daerah Kuching ACP Ahsmon Bajah berkata kejayaan tersebut berjaya melumpuhkan sindiket perjudian tersebut yang disyaki telah beroperasi sejak sekurang-kurang tiga bulan lalu dengan memperolehi keuntungan sehingga RM810,000.

“Berdasarkan kepada rekod dan transaksi yang telah berjaya disemak, siasatan awal mendapati bahawa ketiga-tiga pusat tersebut telah beroperasi tiga hingga enam bulan yang lalu.


“Jumlah keseluruhan hasil aktiviti ini daripada ketiga-tiga pusat operasi judi tersebut adalah sebanyak RM810,000,” katanya dalam satu sidang media, di sini hari ini.

Katanya, serbuan pertama dilakukan pada 4 Januari di sebuah rumah di Tabuan Tranquility.

“Dalam serbuan tersebut, seramai empat lelaki tempatan dan tiga lelaki warga asing berusia 20 hingga 30 tahun ditangkap.

“Serbuan kedua dilakukan pada 7 Januari bertempat di sebuah kondominium di Jalan Song dan seramai lapan suspek warga asing terdiri daripada tujuh lelaki dan seorang wanita ditangkap,” kata Ahsmon.

Serbuan ketiga dilaporkan dilakukan ke atas sebuah rumah ‘flat’ di Jalan Stutong pada 9 Januari dan berjaya menangkap enam lelaki warga Indonesia dan seorang wanita tempatan.

“Keseluruhan tangkapan setakat ini adalah terdiri daripada dua penganjur dan 19 operator yang diupah mengendalikan pusat perjudian tersebut,” kata Ahsmon.

Jelasnya, suspek-suspek yang ditangkap akan membuat panggilan kepada pelanggan untuk mempromosikan perjudian tersebut.

“Selain panggilan telefon, kesemua operator ini juga memperomosikan judi dalam talian dengan menggunakan aplikasi dan laman sosial seperti WhatsApp, Telegram, WeChat, Skype dan Facebook,” katanya.

Turut dirampas dalam serbuan-serbuan tersebut ialah beberapa unit komputer dan peralatan yang digunakan dalam kegiatan tersebut.

Siasatan lanjut kes dijalankan di bawah Seksyen 41(1)(g) Akta Rumah Judi Terbuka dan warga asing yang ditangkap turut disiasat di bawah Seksyen 6(1)(c) dan 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63.

“Op Dadu khas seperti ini akan diteruskan dan diperhebatkan lagi bagi membanteras perjudian haram yang merugikan ekonomi dalam aspek lesen dan cukai.

“Tindakan pemotongan elektrik akan dilaksanakan serta merta sebagaimana peruntukan undang-undang Seksyen 21A Akta Rumah Judi Terbuka 1953,” kata Ahsmon. — DayakDaily