Bomba Miri siap sedia hadapi banjir

President Persatuan Wartawan Utara Sarawak (NSJA), Andy Jong Wan Joon (kiri) menyerahkan kalender untuk tahun 2022 kepada Ketua Zon 6 Penguasa Kanan Bomba 1 (PgKB) Law Poh Kiong.

Oleh Brad Rantayy

MIRI, 10 Jan: Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Zon 6 Miri telah bersiap dengan menggerakkan semua kemudahan menyelamat termasuk perkhidmatan helikopter bagi menghadapi Musim Monsun yang kemungkinan menyebabkan banjir sejak akhir tahun 2021.

Ketua Zon 6 Penguasa Kanan Bomba 1 (PgKB) Law Poh Kiong berkata semua anggota kini dalam keadaan bersiap sedia termasuk dari segi penyediaan kenderaan bagi tugas operasi menyelamat.


“Kami akan gerakkan segala kemudahan termasuk perkhidmatan helikopter di Miri bagi operasi menyelamat terutama di kawasan sukar dihubungi dengan jalan darat,” katanya kepada media.

Law Poh Kiong berkata demikian ketika ditemui Persatuan Wartawan Utara Sarawak (NSJA)
menyerahkan 150 keping calendar NSJA kepada JBPM Zon 6 Miri di sini, pagi tadi.

Setiap kawasan rendah yang sering berdepan situasi banjir akan dipantau oleh balai-balai bomba di Miri ,Lopeng,Batu Niah dan Marudi serta Ketua Ketua Masyarakat yang kawasan mereka kerap dinaiki air.

Antaranya kawasan kerap banjir akan dipantau oleh balai balai bomba dengan kekuatan anggota dibantu kenderaan pacuan empat roda dan bot bomba.

Bagi tujuan operasi menyelamat pada musim tengkujuh juga, beliau memberitahu bahawa semua cuti anggota kini dikawal bagi memastikan kekuatan pasukan tidak kurang dari 80 peratus setiap masa dalam keadaan siap siaga.

Law berkata semua kejadian banjir yang berlaku di Bahagian Miri pula akan dipantau keseluruhannya oleh Pengurusan Bencana Bahagian Miri yang diketuai oleh Residen Miri.

Pengurusan Bencana Bahagian Miri akan mengumpul semua maklumat setiap agensi dan akan mengerakkan agensi berkenaan mengikut situasi termasuk dalam operasi pemindahan dan menyelamat,” katanya.

Law meminta penduduk di sini supaya berwaspada dengan kejadian banjir kilat yang mungkin berlaku ekoran cuaca musim monsun ketika ini dan masyarakat juga diminta sentiasa mendapatkan berita atau maklumat yang sahih seperti mengikut berita cuaca setiap masa yang diumumkan oleh Jabatan Kajicuaca Malaysia.

Beliau pada masa yang sama menasihati penduduk yang tinggal di kawasan rendah agar sentiasa berwaspada dengan kenaikan paras air.

“Bagi mereka yang tinggal di pinggir sungai, kami menasihati mereka sentiasa memantau kenaikan paras air sungai dan bersedia berpindah jika diarahkan,” jelasnya.

Penduduk juga perlu menyimpan dokumen penting dan menghubungi talian kecemasan 999 dan pihak berkuasa seperti Pejabat Residen dan Daerah, PDRM , Bomba dan pihak Angkatan Pertahanan Awam Malaysia ( APM) jika menyedari kenaikan paras air secara mendadak. — DayakDaily