IPD Kuching: ‘Geng Piji’ terlibat 24 kes curi kenderaan dan pecah rumah tumpas

Ahsmon menunjukkan antara kenderaan yang telah dibakar suspek selepas dileraikan.
Advertisement

KUCHING, 28 Sept: Tiga ahli sindiket ‘Geng Piji’ dipercayai terlibat 24 kes curi kenderaan dan pecah rumah berjaya ditumpaskan dalam Operasi Lejang Khas oleh Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuching.

Ketua Polis Daerah Kuching ACP Ahsmon Bajah berkata ketiga-tiga suspek ialah dua lelaki berusia 26 dan 39 tahun, serta seorang wanita berusia 28 tahun.

Katanya, mereka ditangkap dalam serbuan ke atas sebuah kedai 24 jam dan bilik sewa di Batu 3 Jalan Tun Ahmad Zaidi Adruce pada 24 dan 25 Sept lalu.

Advertisement

“Dalam operasi khas ini, dua suspek lelaki berperanan sebagai perancang utama dan seorang lagi wanita sebagai perancang pemasaran (penjualan) barang-barang yang dicuri.

“Dengan tangkapan ini, polis berjaya menyelesaikan sebanyam sembilan kes curi kenderaan dan 15 kes pecah rumah dengan anggaran kerugian lebih kurang RM430,000,” katanya dalam sidang media kejayaan tersebut, di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuching hari ini.

Dedahnya juga, dua suspek lelaki merupakan bekas banduan yang masing-masing memiliki 18 dan 8 kes jenayah lampau.

“Suspek wanita pula mempunyai 9 rekod jenayah lampau yang kini masih dalam siasatan polis,” katanya.

Dedahnya juga, seorang daripada suspek juga pakar dalam membuka ‘autogate’ rumah.

Sementara itu, Ahsmon memberitahu kebanyakan kenderaan yang dicuri suspek akan dileraikan sebelum dibakar di sesuatu lokasi.

“Komponen yang dileraikan akan dijual berasingan sebagai alat ganti dan bahagian yang tidak dapat dijual
akan dibakar.

“Setakat ini, ada empat buah kenderaan telah berjaya ditemui semula,” katanya.

Menurutnya juga, barang-barang curi akan dijual suspek secara terus kepada pelanggan mereka.

“Mereka cash on delivery (COD) barang-barang kepada palanggan untuk elak dikesan pihak polis,” katanya.

Polis juga kini sedang menjejaki seorang lelaki dikenali sebagai Muhammad Rafizie Saharie dari Kampung Semariang Batu untuk membantu siasatan.

Kes tersebut disiasat di bawah Seksyen 379A, 411, 427 dan 457 Kanun Keseksaan. — DayakDaily

Advertisement