Imej burung kenyalang dalam logo VM 2020 dialu-alukan

Logo kempen Melawat Malaysia 2020

Oleh Chris Bishop

KUCHING, Julai 24: Sarawak mengalu-alukan keputusan kerajaan Malaysia yang telah memaparkan imej burung kenyalang pada logo kempen Melawat Malaysia (VM) 2020.

Menteri Pelancongan, Kebudayaan, Kesenian, Belia dan Sukan Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah berkata ianya satu penghormatan buat negeri Sarawak.

“Semua orang tahu bahawa burung kenyalang adalah lambang negeri Sarawak. Kalau dikatakan kenyalang sahaja, semua tahu ianya berkaitan Sarawak.

“Apabila imej burung itu dipaparkan pada VM 2020, kita berasa bangga dan terima kasih kepada kementerian pelancongan Malaysia,” katanya ketika ditemui pemberita di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) hari ini.

Terdahulu beliau mewakili Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg di acara Perasmian Persidangan Orkid Asia Pasifik Ke-13 (APOC13) yang disempurnakan TYT Tun Pehin Sri Abdul Taib Mahmud.

Mengulas isu yang sama, Sarawak akan memberi kerjasama kepada kerajaan pusat untuk menjayakan VM 2020, tambah Abdul Karim.

Katanya, apabila kempen ini diadakan ianya bukan hanya untuk negeri-negeri di Semenanjung Malaysia, tetapi turut melibatkan Sabah dan Sarawak.

Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah

“Harapan kita adalah agar Sarawak dipilih menjadi salah satu destinasi di dalam kempen-kempen yang diadakan di luar negara.

“Selain mempromosikan Pulau Pinang, Melaka, dan Terengganu, kita harap kempen turut mempromosi Gunung Mulu dan tempat-tempat lain yang menarik di Sarawak,” katanya.

Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad pada Julai 22 lepas telah melancarkan logo baru VM 2020.

Logo baru VM 2020 menampilkan beberapa ciri yang sinonim dengan Malaysia seperti burung kenyalang, bunga raya, pakis liar dan warna-warna jalur gemilang.

Ciptaan pereka grafik berusia 23 tahun dari Melaka, Alfred Phua Hong Fook, logo itu melambangkan kepelbagaian budaya, warisan, flora dan fauna Malaysia di samping pengalaman yang ditawarkan sebagai sebuah destinasi percutian.

Logo itu dipilih daripada beratus-ratus penyertaan diterima dari seluruh negara semasa tempoh pertandingan awal tahun ini. — DayakDaily