Hotel 4-bintang terbaru di Kuching dilancar secara rasmi

Riverside Majestic Hotel Astana Wing

KUCHING, Feb 27: Perbadanan Pembangunan Ekonomi Sarawak (SEDC) telah merasmikan pembukaan Riverside Majestic Hotel Astana Wing miliknya yang mempunyai 272 bilik penginapan tetamu di pusat bandaraya ini, di sini, semalam.

Pengerusi SEDC Tan Sri Datuk Amar Abdul Aziz Husain berkata bilik-bilik tersebut termasuklah Astana Suites, Executive Club Floor dan Club Lounge.

“Terdapat juga tiga bilik majlis pelbagai guna yang sesuai bagi mengadakan sebarang bentuk majlis. Bilik majlis ini asalnya pejabat pengurusan, tetapi kami menukarkanya menjadi bilik majlis bagi menjana pendapatan,” katanya ketika majlis pelancaran hotel terbabit yang disempurnakan Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg.


Bilik majlis terbabit ialah Rafflesia yang boleh menampung seramai 150 sehingga 200 tetamu, Alamanda yang boleh menampung seramai 160 sehingga 240 tetamu dan Orkid yang boleh menampung 40 sehingga 120 tetamu mengikut bentuk majlis.

Abdul Aziz berkata pihaknya menamakan hotel milik sepenuhnya SEDC terbabit Riverside Majestic Hotel Astana Wing kerana pemandangannya yang menghadap Astana Negeri, Bangunan Kompleks Dewan Undangan Negeri, Jambatan Darul Hana, Sungai Sarawak, Gunung Serapi dan Gunung Santubong.

“Bagi makanan dan minuman, kami telah membuka Sape Restaurant di tingkat lobi, yang mempunyai balkoni luaran dengan pemandangan jelas sungai dan tebingan,” katanya.

Disamping itu, terdapat Sky Lounge di tingkat 17 bagi tetamu berehat dan makan malam dengan hiburan ringan serta sebuah lagi restoran, Suasana-on-18 di tingkat 18 yang kedua-duanya ada pemandangan luas bandaraya ini.

Katanya, Astana Wing juga adalah hotel pertama ada dipasang sistem Sarawak Pay bagi membolehkan pelanggan membayar bil mengunakan e-wallet.

“Asalnya Astana Wing dirancang menjadi hotel tiga bintang tersendiri dengan kemudahan minima bagi pasaran rendah akhir. Bagaimanapun, setelah kajian lanjutan, kami memutuskan mengubahnya menjadi hotel empat bintang,”katanya.

Abdul Aziz berkata ketika ini, pelaburan terbesar SEDC ialah dalam sektor pelancongan dan hospitaliti yang mencecah RM540 juta atau 74 peratus dari keseluruhan pelaburan terbabit.

Katanya selepas ini SEDC melihat kepada membangunkan satu resort bersepadu dan baru di Tanjung Datu, Lundu yang akan menjadi kemudahan kesihatan dan menambahbaik hartanahnya yang sudah berusia termasuk Kampung Budaya Sarawak dan Tebingan Kuching.

Sehubungan itu, pihaknya berharap kerajaan negeri dapat membantu usaha itu dengan pemberian peruntukan menambahbaik kedua-dua hartanah terbabit yang popular dan menjadi produk pelancongan ikonik bagi Sarawak. — DayakDaily