Kerajaan negeri merancang membina kemudahan resort kesihatan

Abang Johari (tiga dari kiri) menandatangani plak perasmian pembukaan Riverside Majestic Hotel Astana Wing.
Advertisement

KUCHING, Feb 27: Kerajaan negeri melalui Perbadanan Pembangunan Ekonomi Sarawak (SEDC) merancang membina kemudahan resort kesihatan yang khusus bagi didiami pesakit yang sudah selesai menjalani rawatan perubatan di negeri ini.

Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg yang mendedahkan ini berkata resort kesihatan terbabit adalah khusus bagi orang ramai terutamanya pesakit warga asing yang mahu terus berehat dan melakukan senaman fisioterapi di negeri ini selepas memilih menjalani rawatan perubatan.

“Resort kesihatan terbabit adalah khusus bagi orang ramai termasuk warga asing untuk terus berehat dan melakukan senaman fisioterapi selepas mereka selesai menjalani rawatan perubatan dan keluar dari hospital di bandaraya ini,” katanya ketika majlis perasmian pembukaan Riverside Majestic Hotel Astana Wing, di sini, semalam.

Advertisement

Riverside Majestic Hotel Astana Wing adalah hotel empat bintang milik SEDC yang mempunyai 272 bilik penginapan dan tiga bilik majlis yang boleh menampung antara 150 sehingga 240 orang tetamu.

Abang Johari tidak mendedahkan butiran lanjut mengenai rancangan pembinaan resort itu tetapi mengesahkan sudah mengarahkan SEDC bagi mengenalpasti satu kawasan sesuai di luar bandaraya ini bagi membinanya termasuklah sekitar Sematan di Lundu dan Damai di Santubong.

Ini supaya resort terbabit dapat menarik lebih ramai warga asing terutama dari Indonesia dan Kalimantan memilih mendapatkan rawatan perubatan di hospital swasta sekitar bandaraya ini dan kemudian mendiami resort terbabit berikutan semakin banyak syarikat penerbangan menawarkan penerbangan terus antara Pontianak di Kalimantan dengan Kuching.

Selain membina resort kesihatan bagi aktiviti pelancongan perubatan, Abang Johari juga mendedahkan perancangan kerajaan negeri bagi mengubah pemandangan persekitaran kawasan Padungan yang terletak di pusat bandaraya ini supaya kelihatan lebih moden.

“Usaha terbabit akan berkonsep pembaharuan bandar atau dengan kata lain, sepanjang Jalan Padungan dan sekitarnya akan dibangunkan dengan kemudahan moden. Saya sudah meminta Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Professor Datuk Dr Sim Kui Hian bagi menjalankan usaha tersebut,” katanya.

Beliau memberikan jaminan yang usaha memodenkan kawasan Padungan akan mengekalkan reka bentuk bangunan kedai lama sekitar kawasan itu dan juga tidak akan menyebabkan banyak masalah kepada penghuni-penghuninya yang sedia ada termasuk di kawasan rumah pangsa KMC.

Abang Johari menjangkakan usaha terbabit akan mengambil masa sekurang-kurangnya lima tahun dan sehubungan itu berharap kawasan terbabit yang kini dikuasai pembangkang akan dapat ditawan Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) diketuai presidennya Dr Sim pada pilihanraya umum akan datang. — DayakDaily

Advertisement