Henry: Kegiatan perlombongan emas di daerah Bau boleh kembali

Dato Henry Harry Jinep melihat buku sejarah Bau di Majlis Penangguhan Simposium 200 Tahun Sejarah Perlombongan Emas Bau, di sini, hari ini

KUCHING, 15 Dis: Kegiatan perlombongan emas boleh kembali semula di sekitar daerah Bau berikutan banyak surat pajakan perlombongan itu yang masih belum tamat tempoh sahnya.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tasik Biru, Dato Henry Harry Jinep berkata malahan ada surat pajakan terbabit tempoh sahnya sehingga 2033 dan ini disebabkan aktiviti perlombongan emas di daerah terbabit telah bermula sejak 1820 dan mempunyai sejarah selama 200 tahun.

“Perlombongan emas kalau secara besar-besaran tidak ada, tetapi pajakan perlombongan itu yang dikatakan dalam Bahasa Malaysia surat mengendalikan perlombongan itu masih sah, ada yang sampai 2033,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Majlis Penangguhan Simposium 200 Tahun Sejarah Perlombongan Emas Bau, di Bau hari ini.

Henry Jinep berkata ini bermakna pemegang surat pajakan terbabit boleh memulakan semula operasi perlombongan emas mereka pada bila-bila masa dan ada kemungkinan ini boleh berlaku sekiranya harga emas melonjak dengan tinggi.

“Seluruh Bau memang banyak pajakan perlombongan itu, di mana ianya akan bermula pun kita tidak tahu dan terpulang kepada syarikat yang mempunyai pajakan perlombongan itu,” katanya.

Beliau berkata sehubungan itu bagi memperingati sejarah 200 tahun perlombongan emas di Bau tahun ini pihaknya bercadang mengadakan acara menyambut sejarah terbabit bermula pada sebelah pagi 31 Disember depan.

“Kami masih menunggu pengesahan dari Ketua Menteri (Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg) untuk menghadiri acara itu pada hari terbabit,” katanya.

Katanya antara acara dicadangkan pada sambutan itu ialah pameran penemuan tentang sejarah aktiviti perlombongan di daerah Bau dan bagaimana perlombongan itu mengubah serta membawa pembangunan ke daerah terbabit. Acara itu juga penting sebagai memperingati sejarah kaum Cina yang berhijrah ke negeri ini bagi melombong emas.

“Kita juga akan mengadakan acara detik pengiraan ambang tahun baharu pada sebelah malam (31 Disember), dan beri peluang kepada warga tempatan untuk berniaga tetapi pada masa sama mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) Covid-19,” katanya.

Selain itu Henry berkata pihak juruperunding kini juga sedang menjalankan kajian pembinaan muzium perlombongan emas berserta taman di daerah Bau dengan kajian terbabit dijangka siap Febuari tahun depan.

“Seterusnya kerajaan akan menelitinya bagi menentukan samada berbaloi membina muzium perlombongan emas di Bau,” katanya.

Kerajaan telah memberi peruntukan sebanyak RM1.5 juta bagi menjalankan kajian tersebut. ā€” DayakDaily