Covid-19: 1,772 kes baharu dengan 1,084 pulih dan 3 kematian

Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah

Oleh Chris Bishop

KUCHING, 15 Dis: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) memaklumkan bahawa terdapat 1,772 kes baharu positif Covid-19 dilaporkan hari ini.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, ia melibatkan 1,760 kes tempatan dan 12 kes import.


“Kes positif terkini itu menjadikan jumlah kumulatif kes positif adalah sebanyak 86,618 kes.

“Dengan itu, jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan adalah sebanyak 14,515 kes,” katanya pada satu sidang media hari ini.

Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur melaporkan jumlah kes harian tertinggi hari ini iaitu sebanyak 696 kes (39.3 peratus).

Ini diikuti negeri Selangor dengan sebanyak 503 kes (28.4 peratus) dan Sabah dengan sebanyak 260 kes (14.7 peratus).

Tambah Dr Noor Hisham, terdapat sebanyak 1,084 kes pulih dan dibenarkan discaj, menjadikan jumlah kumulatif kes pulih adalah 71,681 kes atau 82.8 peratus daripada jumlah keseluruhan kes.

“Sehingga kini, terdapat 118 kes positif Covid-19 yang sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) dengan 56 kes memerlukan bantuan pernafasan,” katanya.

Dalam pada itu, beliau turut memaklumkan terdapat pertambahan tiga kes kematian berkaitan Covid-19 dilaporkan hari ini menjadikan jumlah kumulatif kes berkenaan 422 kes.

“Dukacita dimaklumkan terdapat tiga kes kematian dilaporkan hari ini melibatkan warganegara.

“Kesemua kes kematian dilaporkan di Hospital Duchess of Kent, Sandakan di Sabah,” ujar beliau. — DayakDaily