‘Harap kami dapat diberi keutamaan’ — peniaga hasil tani Aiman Mall

Deretan gerai hasil tani milik penduduk kampung sekitar Kota Samarahan di Aiman Mall.

KOTA SAMARAHAN, 21 Jun: Peniaga gerai hasil tani di kawasan pusat beli belah Aiman Mall, di sini, merayu untuk diberi keutamaan menjadi penyewa lot gerai pasar tamu baru berdekatan pusat beli belah itu yang dijangka beroperasi tidak lama lagi.

Salah seorang peniaga, Hamden Tambi, 65, berkata mereka telah dimaklumkan yang borang permohonan menjadi penyewa lot gerai di pasar tamu terbabit sudah habis diedarkan pihak berkuasa tempatan kerana permintaannya yang tinggi dari orang ramai.

“Jadi saya dan ramai kalangan peniaga gerai hasil tani di Aiman Mall ini tidak sempat mendapat borang terbabit dan kami bimbang tidak akan dapat menjadi penyewa lot gerai di pasar baru itu nanti,” katanya ketika ditemui di Aiman Mall semalam.

Hamden Tambi

Hamden berkata sekitar 20 peniaga hasil tani terbabit termasuk dirinya telah berniaga di Aiman Mall sejak pusat beli belah itu dibuka dua tahun lepas dan semenjak itu mereka berharap diberi keutamaan menjadi penyewa gerai pasar tamu terbabit.

Tambah pula, majoriti daripada mereka adalah juga penduduk kampung sekitar Kota Samarahan dan bukan peniaga dari kawasan luar.

“Selain itu, kami bimbang selepas pasar tamu baru itu dibuka nanti, pihak berkuasa tempatan akan meminta kami berhenti pula berniaga di pusat beli belah ini, jadi ke mana kami mahu berpindah sekiranya tidak dapat menyewa gerai di pasar tamu baru terbabit?” katanya.

Pasar tamu Aiman Mall yang dijangka mula beroperasi tidak lama lagi.

Beliau sehubungan itu berharap pihak berkuasa tempatan di Kota Samarahan dapat mengeluarkan borang permohonan menjadi penyewa lot gerai pasar tamu Aiman Mall disamping permohonan mereka juga diberi keutamaan berbanding pemohonan orang lain, terutamamya yang bukan dari kawasan terbabit.

Hamden juga berharap dapat berniaga di pasar tamu Aiman Mall kerana setiap hari mampu menjual hasil tani dengan purata pendapatan sebanyak RM50 sehari di pusat beli belah itu.

Selepas ditolak modal dan perbelanjaan termasuk kos bayaran sewa tapak gerai sebanyak RM3 sehari, akan memperolehi pendapatan bersih sekitar RM17 sehari, katanya.

Beliau bercadang untuk mengadukan masalah peniaga gerai hasil tani di pusat beli belah itu terus kepada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Muara Tuang, Datuk Idris Buang, ketika rumah terbuka Aidilfitri wakil rakyat itu yang dijangka akan diadakan minggu ini. — DayakDaily