Hanya GPS bersungguh melindungi hak Sarawak, kata KM

Abang Johari (dua dari kiri) menerima cenderahati dari Pengerusi ACEM Cawangan Sarawak, Clarence Chieng (kiri) sambil disaksikan oleh Timbalan Ketua Menteri Tan Sri James Masing ketika menghadiri Sesi Dialog Bersama Ketua Menteri anjuran ACEM Cawangan Sarawak.

KUCHING, Feb 25: Gabungan Parti Sarawak (GPS) meluahkan kebimbangan mengenai hak Sarawak yang termaktub dalam perlembagaan Malaysia akan dihapuskan sekiranya gabungan itu kalah kepada parti politik dari luar negeri ini pada pilihanraya negeri akan datang.

Ketua Menteri dan pengerusi GPS, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg berkata demikian kerana parti politik dari luar mungkin tidak seperti GPS sebagai kerajaan negeri yang bersungguh melindungi hak negeri ini yang termaktub dalam perlembagaan terbabit.

“Kalau kami (GPS) kalah, mereka (parti politik lain) akan datang dan mereka akan meminda perlembagaan kita, kerana perlembagaan terbabit boleh dipinda. Tetapi kalau kami (GPS) adalah anak Sarawak dan sudah tentu kami akan terus melindungi hak kita,” katanya ketika menghadiri Sesi Dialog Bersama Ketua Menteri anjuran Persatuan Jurutera Perunding Malaysia (ACEM) Cawangan Sarawak, di sini, hari ini.


Abang Johari menambah GPS dalam rundingan mengenai Perjanjian Malaysia 1963 dengan kerajaan pusat baru-baru ini telah memastikan hak terbabit yang penting kepada Sarawak tidak dirundingkan dan tiada tolak ansur mengenainya.

Ini terutamanya empat hak terbabit iaitu hak kuasa imigresen negeri ini, hak negeri ini terhadap tanahnya, hak negeri ini terhadap sempadannya sehingga kawasan “continental shelf” dan hak negeri ini terhadap sumber mineralnya.

“Ini semua tidak boleh dirundingkan kerana adalah hak mutlak kita. Saya berharap rakyat Sarawak mengetahui tentang masa hadapan dan penubuhan GPS yang kami lakukan adalah bagi melindungi masa depan kita (anak Sarawak) termasuk kalangan jurutera perunding kita,” katanya.

Sehubungan itu, beliau berharap jurutera perunding anak Sarawak dalam ACEM Cawangan Sarawak untuk menyokongnya dalam perkara tersebut dan menjelaskan yang selama ini hak negeri ini terhadap kuasa imgresen lah yang melindungi mereka.

“Kuasa imigresen kita perlu dilindungi. Kalau kamu membuka pintu (negeri ini kepada jurutera perunding dari luar), kamu akan habislah, kerana kamu tidak akan dapat bersaing dengan mereka dan ini sama bagi yang berkerjaya dalam bidang perundangan,” katanya.

Sementara itu, bagi melindungi jurutera perunding di negeri ini, Abang Johari mengumumkan yang kabinet kerajaan negeri telah bersetuju untuk mewujudkan satu dana pusingan dibawah Jabatan Kerja Raya (JKR) Sarawak khusus bagi membayar perkhidmatan mereka.

Beliau berkata dana pusingan terbabit bagi memastikan juruperunding projek yang telah dilantik akan menerima bayaran perkhidmatan mereka tanpa perlu menunggu sehingga sehingga sesuatu projek itu telah diluluskan permulaan pembinaannya.

“Sebelum ini, kamu (juruperunding projek) terpaksa menunggu sehingga projek diluluskan (bagi mendapatkan bayaran perkhidmatan) kerana bayaran itu adalah sebahagian peruntukan kewangan projek,” katanya dengan kerajaan negeri akan sentiasa mengisi dana pusingan terbabit supaya sentiasa mencukupi.

Disamping itu beliau juga meminta ACEM Cawangan Sarawak menubuhkan satu jawatankuasa bersama Kementerian Pembangunan Infrastruktur dan Pengangkutan serta Kementerian Kewangan negeri ini bagi mengenalpasti kadar kenaikan bayaran perkhidmatan juruperunding projek di Sarawak.

Katanya jawatankuasa terbabit kemudian akan menetapkan kenaikan kadar terbabit yang bersesuaian kepada kabinet negeri bagi mempertimbangkannya dan beliau menyarankan kadar terbabit turut mengambil kira inflasi dan kos sara hidup dalam tempoh 10 tahun akan datang. ā€” DayakDaily