Hampir 1/3 jumlah ahli SUPP terdiri dari ahli Bumiputera

Professor Datuk Dr Sim Kui Hian (Kiri) menyampaikan cek bantuan kepada seorang wakil salah satu pertubuhan dari sekitar Kuching di ibupejabat SUPP.

KUCHING, Dis 16: Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) ketika ini sudah mempunyai seramai 33,000 ahli parti terdiri dari kaum Bumiputera dan sedang menyaksikan peningkatan penyertaan keahlian baharu dari kaum itu.

Presiden SUPP, Professor Datuk Dr Sim Kui Hian berkata demikian dan ini berdasarkan rekod keahlian parti terbabit yang keseluruhannya mempunyai seramai 111,000 ahli dari kalangan penduduk negeri ini.

“Rekod keahlian SUPP menunjukkan parti ini keseluruhannya ada seramai 111,000 ahli parti dan seramai 33,000 ahli terbabit dari kaum Bumiputera. Memang bilangan keahlian mereka dari kaum Bumiputera semakin meningkat dalam parti ini,” katanya selepas menyampaikan cek bantuan kewangan kepada 21 pertubuhan sekitar Kuching di Ibupejabat SUPP, di sini, semalam.


Dr Sim Kui Hian berkata rekod keahlian terbabit memberikan maklumat yang boleh dipercayai kerana dikemaskini baharu enam bulan lepas dengan membatalkan nama ahli parti yang sudah meninggal dunia dan menambah nama ahli parti yang baharu.

Malahan, beliau mendedahkan pembatalan nama ahli yang sudah meninggal dunia dalam rekod itu selama ini tidak dilakukan sebarangan tetapi setelah menyemaknya dengan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) yang ada rekod terkini kematian penduduk negeri ini.

“Ini juga bagi mengelakkan SUPP berhadapan masalah dengan Pendaftar Pertubuhan (ROS), kerana pada 2011 kita pernah mengalami perkara itu setelah dikesan ada ahli yang sudah meninggal dunia tetapi masih membayar yuran keahliannya,”katanya.

Ini kerana ada ahli parti lain telah membayar yuran bagi ahli parti yang sudah meninggal dunia dan menyebabkan nama mereka masih terus kekal dalam rekod SUPP serta kesalahan terbabit dikesan ROS.

Beliau tidak mendedahkan butiran tindakan ROS terhadap parti itu atas kesalahan terbabit tetapi menegaskan sebagai langkah berwaspada pihaknya kini sentiasa mengemaskini rekod keahlian SUPP dengan JPN.

Professor Datuk Dr Sim Kui Hian (duduk depan, tengah) bersama kesemua wakil 21 pertubuhan sekitar Kuching yang menerima cek bantuannya di ibupejabat SUPP.

“Rekod keahlian yang dikemaskini juga penting kerana ahli boleh mempersoalkan kemimpinan parti sekiranya mereka diberikan rekod itu yang lama dan tidak dikemaskini malahan juga boleh menuduh kepimpinan parti cuba menipu mereka dengan memberikan bilangan keahlian yang tidak tepat,” katanya.

Sehubungan itu, pihaknya mengemaskini rekod keahlian parti terbabit supaya maklumat lebih terkini dapat diberikan kepada ahli parti terutamanya Persidangan Perwakilan SUPP 22 Disember depan yang akan menyaksikan sebanyak lima jawatan tertinggi parti terbuka bagi ditandingi ahli.

“Ini kerana kami mahu pemilihan jawatan tertinggi dalam parti ini dilakukan secara demokratik dan hanya sekiranya tiada pencalonan, maka penyandang jawatan tertinggi terbabit akan dikekalkan,” katanya. — DayakDaily