Riot: Sistem Insurans Pekerjaan masih dilaksanakan walaupun mendapat tentangan

Datuk Seri Richard Riot (tengah) menyampaikan hamper kepada ibu tunggal dan anak yatim di Majlis Sambutan Krismas Bersama Penerima Faedah PERKESO 2017.

KUCHING, Dis 16: Walaupun mendapat banyak tentangan dari pelbagai pihak, Kementerian Sumber Manusia akan tetap melaksanakan Sistem Insurans Pekerjaan (SIP) yang memerlukan majikan dan pekerja membayar caruman masing-masing sebanyak 0.2 peratus kepada sistem itu mulai 1 Januari 2018.

Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri Richard Riot Jaem berkata demikian berikutan perlaksanaan SIP amat penting kepada pekerja yang kehilangan pekerjaan di negara ini kerana akan membolehkan mereka menerima elaun bulanan dari PERKESO bagi membantu menyara diri dan keluarga sementara masih mencari pekerjaan baru.

“Majikan akan membayar caruman (SIP) sebanyak 0.2 peratus manakala pekerja juga sebanyak 0.2 peratus; jadi keseluruhan caruman terbabit sebanyak 0.4 peratus sahaja. Saya dan kementerian akan melaksanakan SIP mulai 1 Januari 2018 walaupun mendapat banyak tentangan dari pelbagai pihak berikutan sudah mendapat sokongan dari Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak,” katanya selepas menghadiri Majlis Sambutan Krismas Bersama Penerima Faedeh Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) 2017, di sini hari ini.


Richard Riot berkata selain sokongan dari Perdana Menteri, kerajaan pusat turut memperuntukan sebanyak RM122 juta kepada PERKESO bagi memulakan SIP tahun hadapan dengan pekerja yang kehilangan pekerjaan tahun hadapan akan menerima faedah interim dalam bentuk elaun tunai bagi tempoh tiga bulan.

“Ini bagi membolehkan pekerja terbabit sekiranya tidak mempunyai sebarang wang simpanan, akan masih mampu menyara diri dan keluarga mereka mengunakan elaun SIP, sementara masih mencari pekerjaan baru,”katanya.

Ini kerana sebelum ini ada kes pekerja secara tiba-tiba kehilangan pekerjaan dan seterusnya telah menyebabkan keluarga mereka menjadi kebuluran dan ada pekerja terbabit sehingga membunuh diri kerana terlalu tertekan.

Menurut Riot, dijangkakan mulai 1 Januari 2019, pembayaran faedah SIP sepenuhnya akan dapat diberikan PERKESO kepada pekerja terbabit manakala pembayaran elaun kepada mereka akan sehingga enam bulan.

Datuk Seri Richard Riot (tengah) bersama ibu tunggal dan anak yatim yang menghadiri Majlis Sambutan Krismas Bersama Penerima Faedah PERKESO 2017.

Sementara itu, Riot mendedahkan sehingga September 2017, terdapat seramai 37,007 majikan aktif yang mencarum dengan PERKESO di Sarawak manakala pekerja yang aktif dilindungi ialah seramai 453,102 orang serta caruman yang dikutip bagi negeri ini sehingga 30 november tahun ini ialah sebanyak RM6.5 juta.

Manakala PERKESO di negeri ini sehingga September 2017 membelanjakan sebanyak RM19.51 juta bagi memberikan faedah hilang upaya sementara, hilang upaya kekal dan faedah orang tangungan dan sebagainya kepada pekerja yang melibatkan sebanyak 2,555 kes. — DayakDaily