‘Greater Kuching Coordinated Development Agency’ untuk kepentingan semua kaum – Harry

Abang Johari (lima dari kanan) ketika merasmikan Projek Pusat Kebudayaan Bidayuh di Bau, bersama Harry (enam dari kanan).

Oleh Chris Bishop

BAU, 12 Jun: Penubuhan ‘Greater Kuching Coordinated Development Agency’ (GKCDA) adalah untuk kepentingan semua kaum, kata Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tasik Biru Dato Henry Harry Jinep.

Menurut beliau yang juga Timbalan Menteri Pengangkutan, GKCDA merangkumi 8 kawasan DUN dari Lundu ke Serian.


“GKCDA ialah satu agensi yang diumum Premier Sarawak tadi. Agensi ini akan berbincang dan melihat apa yang perlu dilaksanakan, apabila ada projek, ia akan melihat kelancaran dan sebagainya,” katanya.

Tambah beliau, agensi bertindak sebagai platform untuk melihat perlaksanaan setiap projek supaya ia siap mengikut jadual dan spesifikasi.

Dalam pada itu, Harry menyambut baik pengumuman Abang Johari berhubung pembinaan jalan raya fasa pertama dari Pan Borneo (Kampung Sibuluh) ke Pekan Bau dengan kos RM98 juta.

Katanya, jalan dua lorong sehala sepanjang 5.1 km itu akan dilaksanakan atau dipanggil tender pada bulan Ogos ini.

“Kita tidak mahu Bau terpisah, dimana kita tingkatkan jaringan jalan raya dari Bau ke Jalan Pan Borneo seterusnya ke Lundu serta Sematan.

“Itulah sebabnya kita perlukan jalan dua lorong sehala bagi menampung pertambahan kenderaan dan penguna jalan raya,” katanya ketika ditemui di Majlis Rumah Terbuka Gawai 2022 di Dewan Suarah Bau hari ini.

Pada masa yang sama ujar Harry, fasa kedua projek akan melibatkan naiktaraf jalan dari Batu Kitang ke Bau kepada jalan dua lorong sehala.

Majlis turut dihadiri Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg, Timbalan Premier Dato Sri Dr Sim Kui Hian, Timbalan Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan II Datuk Snowdan Lawan, Speaker DUN Sarawak Tan Sri Mohamad Asfia Awang Nassar, dan Timbalan Speaker Dato Idris Buang. — DayakDaily