“GPS vs BN: Nama lain, isi sama”

Saifunnizam Sam

KUCHING, Jan 17: Angkatan Muda Keadilan Cabang Petra Jaya menempelak kenyataan dari Menteri Muda Belia dan Sukan, Datuk Snowdan Lawan dari Gabungan Parti Sarawak (GPS) sepertimana yang tersiar di Borneo Post pada Januari 16 lalu, kononnya GPS terbentuk lantaran pengalaman yang ‘tidak menyenangkan’ bekerja selama 55 tahun dengan parti politik Semenanjung atau dengan perkataan yang lebih kasar ‘orang luar’.

Ketuanya, Saifunnizam Sam berkata, berdasarkan laporan akhbar itu juga, kenyataan beliau turut disokong oleh Menteri Muda Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar, Datu Len Talif yang menyatakan 55 tahun bekerja bersama parti Semenanjung bawah Barisan Nasional (BN) penuh dengan kesilapan besar dan janji yang tidak ditepati.

Tegasnya, beliau berpendapat bahawa kenyataan sebegini yang terpacul hanya setelah 55 tahun bekerjasama dengan BN amat melucukan dan tidak lebih daripada satu justifikasi bersifat ‘afterthought’.

“Untuk rekod, GPS hanya lahir selepas BN kalah pada pilihanraya umum ke-14 (PRU14) Mei tahun lalu. Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Parti Bersatu Rakyat Sarawak (SUPP), Parti Rakyat Sarawak (PRS) dan Parti Progresif Demokratik (PDP) merupakan antara komponen parti yang sekian lama teguh bersama BN.

“Jangan sesekali kita lupa bahawa sepanjang pemerintahan BN sejak Sarawak dan Sabah menyertai Malaysia berdekad lamanya, ahli Parlimen dari Sarawak sebagai wakil BN merupakan antara yang paling ramai berbanding negeri-negeri lain.

“Ini bermakna, dalam penggubalan dasar-dasar negara dan kelulusan belanjawan nasional tahunan, ahli Parlimen Sarawak mewakili antara blok suara terbesar dalam Dewan Rakyat yakni kuasa penentu dalam meluluskan atau menolak sebarang usul,” katanya dalam satu kenyataan media semalam.

Saifunnizam menambah, sepanjang berdekad lama itulah komponen BN di Sarawak yang kini mahu dikenali sebagai GPS telah sekian lama gagal memastikan kesejahteraan hidup rakyat dan kemakmuran negeri Sarawak.

Jelasnya, sepanjang berdekad lama bersama kerajaan persekutuan BN itu jugalah, wakil rakyat Sarawak tidak atau gagal sama sekali memperjuangkan hak dan aspirasi rakyat Sarawak.

“Bagi saya, ini merupakan mercu tanda kelemahan wakil rakyat BN Sarawak (yang kini GPS) itu sendiri. Adakah mereka sebenarnya tidak cekap atau tidak berani atau kedua-duanya sekali?

“Kesedaran yang tiba-tiba muncul hanya selepas 55 tahun bersama BN tidak boleh diterima dengan apa jua alasan malah menimbulkan pelbagai persoalan.

“Adakah ‘kesedaran’ ini muncul hanya selepas ‘political masters’ mereka iaitu BN kalah pada PRU14? Begitu buta hatikah komponen BN Sarawak (kini bergelar GPS) sehingga ‘tidak sedar’ selama 20 tahun sejak gerakan reformasi bermula pada 1998 menentang kebobrokan dan kezaliman pemerintahan BN serta pelbagai dasar tidak mesra rakyat BN?” soalnya lagi.

Hakikatnya, jelas Saifunnizam, kenyataan Snowdan itu sebenarnya pengakuan jujur akan kelemahan BN Sarawak (kini GPS).

“Saya masih ingat kenyataan yang dibuat oleh Pengerusi Komponen Barisan Nasional Sarawak dahulu, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg dalam program 100 hari menerajui Sarawak sebagai Ketua Menteri yang baharu (sesi Khas Ketua Menteri Bersama Media -100 dan seterusnya pada April 22, 2017) bahawa ‘Barisan Nasional menampilkan dasar-dasar baik dan sama rata buat rakyat Bumi Kenyalang’.

“Bagi saya, sama ada sesebuah parti politik di Sarawak itu komponen koalisi Semenanjung atau koalisi Borneo bukan isunya.

“Masih wujud negeri lain di Semenanjung yang jauh ketinggalan dan tidak mungkin mencapai tahap negeri maju dalam masa terdekat,” katanya lagi. — DayakDaily