‘GPS tidak akan benarkan undang-undang hudud di Sarawak’

Datuk Ahmad Ibrahim

KUCHING, Mac 2: Ahli Majlis Tertinggi Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Datuk Ahmad Ibrahim yakin undang-undang hudud tidak terpakai di Sarawak.

Beliau yakin Gabungan Parti Sarawak (GPS) tidak akan membenarkan ia berlaku walaupun telah menyokong Muafakat Nasional.

“Ini adalah kerana pelaksanaan hudud sememangnya sudah ditolak oleh kerajaan Sarawak sejak awal lagi.


“Malah, kerajaan persekutuan tidak akan dapat melaksanakan undang-undang itu di Sarawak kerana perkara berkaitan agama adalah di bawah bidang kuasa negeri, bukannya persekutuan,” katanya menerusi satu kenyataan media hari ini.

Tambah beliau, Sarawak sudah ada undang-undang Islam yang komprehensif dan diterima baik oleh penganut Islam di negeri ini.

Beliau mengulas mengenai dakwaan sesetengah pihak bahawa undang-undang hudud akan terpakai di Sarawak, ekoran sokongan GPS terhadap Muafakat Nasional yang terdiri daripada Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu (Umno), Parti Islam Se-Malaysia (PAS), dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

Ahmad yang juga Exco Saberkas Sarawak menyifatkan dakwaan sedemikian tidak wajar ditimbulkan kerana ia boleh memecah belahkan masyarakat di Sarawak yang berbilang kaum dan agama.

“Kita rakyat Sarawak sudah hidup dengan gembira selama ini tetapi malangnya ada sesetengah pihak cuba memecah-belahkan kita dengan undang-undang hudud, yang saya pasti tidak akan memasuki Sarawak.

“Malah saya dari kaum Melanau/ Melayu dan berketurunan Iban juga mahu terus mempunyai ahli keluarga daripada latar belakang kaum yang berbeza,” katanya.

Ahmad merangkap Timbalan Pengerusi Majlis Perbandaran Padawan (MPP) turut yakin GPS akan terus memujuk Putrajaya untuk mengiktiraf dan mengembalikan hak Sarawak dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) yang telah terhakis, demi manfaat kepada rakyat Bumi Kenyalang.

Beliau juga berharap agar kerajaan Perikatan Nasional akan lebih berkebolehan, fokus serta mengukuhkan ekonomi negara.

“Kita tidak mahu lagi kerajaan yang berantakan seperti di bawah Pakatan Harapan (PH), yang menjanjikan bulan dan bintang tetapi kita mahukan kerajaan yang prihatin terhadap kebajikan rakyat,” katanya. — DayakDaily