GPS mengundi untuk berkecuali, bukan menolak atau menyokong

Gabungan Parti Sarawak logo

Oleh Chris Bishop

KUCHING, April 10: Gabungan Parti Sarawak (GPS) tidak mengundi untuk menolak atau menyokong Rang Undang Undang Perlembagaan (Pindaan) 2019, sebaliknya telah memilih untuk tidak mengundi atau berkecuali berikutan keengganan Kerajaan Persekutuan menyetujui cadangan supaya Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) dimasukkan di dalam pindaan berkenaan.

Ahli-ahli parlimen GPS menerusi satu kenyataan hari ini berkata pindaan itu dibuat secara terburu-buru dan tidak memenuhi tuntutan sebenar Sarawak.


“Kita berterima kasih kerana Kerajaan Persekutuan telah meminda pindaan asal selepas mendapat cadangan daripada pihak kita, namun pindaan berkenaan tidak dibuat sepenuhnya serta tidak memasukkan “pursuant to MA63”.

“Pindaan Perkara 1(2) sahaja tidak memadai. Ia perlu disertai dengan pindaan Perkara 160(2) untuk mengelak kekeliruan mengenai tafsiran Persekutuan,” kata ahli-ahli parlimen GPS.

Kenyataan tersebut turut berkata dalam Malaysia ada dua Persekutuan iaitu Persekutuan Tanah Melayu di bawah Perjanjian Malaya 1957 dan Persekutuan Malaysia yang diasaskan melalui MA63.

Namun Perjanjian Malaysia tidak dirujuk dalam mana-mana bahagian dalam perlembagaan.

“Disebabkan kita tidak boleh meminda Perkara 160(2) di bawah peraturan mesyuarat, maka kita telah mencadangkan dimasukkan Perkara “pursuant to MA63” dalam pindaan kepada perkara 1(2).

“GPS juga telah mencadangkan pindaan kepada definisi “federation” dalam Artikel 160 (2) dengan memasukkan MA63 namun cadangan ini tidak dipersetujui.

“Kita turut mencadangkan supaya Rang Undang-Undang ini dibawa untuk perbincangan lanjut di peringkat Jawatankuasa Khas dan turut dibahaskan di Dewan Undangan Negeri Sarawak.”

Matlamat untuk menyamaratakan kedudukan Sabah, Sarawak dan Malaya berteraskan MA63, namun cadangan untuk memasukkan MA63 telah tidak dipersetujui Kerajaan Persekutuan.

Cadangan pindaan berkenaan tidak bersifat menyeluruh sebaliknya hanya bersifat ‘tangkap muat’ semata-mata bertujuan memenuhi manifesto Pakatan Harapan (PH).

Bagi GPS, selain dari keinginan pengiktirafan status, apa yang lebih penting ialah untuk hak-hak dan keistimewaan Sarawak dikembalikan setelah lama terhakis.

Ahli-ahli Parlimen GPS juga ingin Pakatan Harapan menunaikan manifesto mereka mengenai hak royati minyak dan gas, dan juga peruntukan pembangunan yang seharusnya diberikan. — DayakDaily