Geng rompakan bersenjata, suspek ditahan JSJ Miri

Datuk Azman menunjukkan barangan yang dirampas semasa Ops Rantau.

Oleh Brad Rantayy

MIRI, 26 Nov: Polis Miri percaya berjaya menyelesaikan dua kes rompakan di Bekenu dan Miri susulan penahanan 10 individu termasuk warga tempatan pada minggu lalu.

Tangkapan dilakukan pada 16 Nov oleh sepasukan anggota Jabatan Siasatan Jenayah Miri (JSJ) dalam satu operasi dinamakan Ops Rantau.

Dalam serbuan pada jam 3 pagi di sebuah kediaman di kawasan Riam By-pass, JSJ Miri menahan lapan individu, manakala dua lagi ditahan di stesen bas Serian ketika hendak melarikan diri.

Pesuruhjaya Polis Sarawak, Datuk Mohd Azman Sapri berkata, kesemua suspek berusia antara 40 sehingga 50 tahun.

Semasa tangkapan dibuat, pihak Polis turut menjumpai barangan rompakan yang dibawa bersama oleh suspek.

“Kita percaya kesemua suspek ini adalah dalang kepada dua kes rompakan bersenjata yang dilaporkan pada berlaku pada 8 dan 14 Sept lalu,” ujarnya dalam satu sidang media hari ini di IPD Miri.

Di dalam kejadian rompakan bersenjata pada awal pagi tersebut, tangan mangsa telah diikat dengan tall oleh penjenayah yang bersenjatakan parang.

“Penjenayah tersebut telah berjaya melarikan sejumlah wang tunai beserta barang-barang berharga sehingga menyebabkan mangsa mengalami kerugian ratusan ribu ringgit,” Azman berkata.

Dengan tertangkapnya kesemua suspek ini, ianya bukan sahaja dapat menyelesaikan kes jenayah kekerasan di Miri bahkan ianya turut membantu menyelesaikan kes rompakan yang berlaku di Negara Brunei baru-baru ini.

Kesemua suspek telah direman selama tujuhari untuk tujuan siasatan.

Kes-kes yang membabitkan kesemua suspek akan disiasat di bawah Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan kerana melakukan rompakan berkumpulan dan rompakan dengan bersenjata, dan Seksyen 457 Kanun Keseksaan kerana melakukan jenayah pecah rumah.

Kerjasama dan hubungan yang erat di antara pihak PDRM dengan masyarakat ini telah banyak membantu hasrat PDRM dalam mengurangkan kadar jenayah dan ianya terbukti apabila kadar jenayah indeks di daerah Miri telah mencatatkan penurunan sebanyak 50 peratus dengan 245 kes dilaporkan bagi Januari sehingga Oktober 2022 berbanding 486 kes dilaporkan pada tahun 2021 bagi tempoh yang sama.

Turut hadir Ketua Polis Daerah Miri ACP Alexson Naga Chabu dan Timbalannya Supt Mohd Sabri Zainol. — DayakDaily