Kempen BEE kumpul sebanyak 175.89 metrik tan setakat 25 Ogos

Buangan Elektrikal dan Elektronik (E-waste) merupakan peralatan elektrikal dan elektronik di rumah, pejabat, industri atau premis yang telah rosak, usang dan tidak dapat digunakan lagi. Foto fail: Wikimedia Commons

KUCHING, 26 Nov: Kempen Pengumpulan Buangan Elektrikal dan Elektronik (BEE) telah berjaya mengumpul buangan sebanyak 175.89 metrik tan di seluruh negeri setakat 25 Ogos 2022.

Lembaga Sumber Asli Dan Alam Sekitar (NREB) dalam kenyataan berkata, daripada jumlah tersebut Bahagian Kuching mengumpul sebanyak 106.0 metrik tan.

“Manakala Bahagian Samarahan mengumpul 1.8 metrik tan, Bahagian Serian (11.50 metrik tan), Bahagian Sri Aman (9.2 metrik tan), Bahagian Betong (11.2 metrik tan).

“Bahagian Sarikei pula mengumpul 5.3 metrik tan, Bahagian Kapit (4.6 metrik tan), Bahagian Sibu, Kanowit (3.0 metrik tan), Bahagian Bintulu (17.2 metrik tan) dan Miri mengumpul 6.2 metrik tan,” kata NREB.

Kempen pengumpulan BEE 2022 telah dilancarkan pada 23 April lalu oleh Datuk Bandar Dewan Bandaraya Kuching Selatan Dato Wee Hong Seng.

Terkini, pihak NREB dan Jabatan Alam Sekitar (JAS) dengan Kerjasama Majlis Perbandaran Sibu akan mengadakan Kempen Pengumpulan BEE di Kawasan Parkir Berbumbung, Wisma Sanyan, Sibu pada 26 hingga 27 November 2022 jam 8.30 pagi hingga 4.30 petang.

Kempen ini adalah salah satu cara bagi menangani pelupusan BEE yang tidak terancang.

Buangan Elektrikal dan Elektronik (E-waste) merupakan peralatan elektrikal dan elektronik di rumah, pejabat, industri atau premis yang telah rosak, usang dan tidak dapat digunakan lagi. — DayakDaily