Gagal tunaikan janji 20 peratus bayaran royalti, Abdul Karim anggap PH pembohong

Abdul Karim (tengah) pada sidang media.

By Chris Bishop

KUCHING, 28 Sept: Tunaikan sahaja janji bayaran 20 peratus royalti minyak kepada Sarawak seperti yang dinyatakan dalam manifesto pilihan raya, tegas Menteri Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah.

Ia adalah kenyataan balas Abdul Karim terhadap kenyataan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad, bahawa pembayaran tersebut benar-benar tidak boleh berjaya.


“Semua sedia maklum bahawa ia adalah sebahagian daripada janji Pakatan Harapan (PH) dalam manifesto pilihan raya.

“Kita hanya minta apa yang mereka telah janjikan kepada rakyat. PH janji akan menunaikan 20 peratus bayaran royalti, tetapi setelah memenangi pilihan raya mereka mengingkari janji.

“Ini sekaligus menjadikan mereka pembohong,” Abdul Karim menjawab soalan pemberita pada sidang media di sini, hari ini.

Terdahulu, beliau yang juga Menteri Belia dan Sukan, telah merasmikan Pesta Burung Asia Ke-10 di Tebingan Sungai Kuching.

Tambah beliau lagi, pembayaran 20 peratus royalti itu tidak akan menjadikan negara bankrap yang kerap menjadi alasan kepada perlaksanaannya.

“Selama ini Sarawak hanya menerima 5 peratus sahaja, selebihnya iaitu 95 peratus diambil Petronas. Kita sedia maklum yang kerajaan persekutuan menerima royalti melalui Cukai Petroleum (PITA) sebanyak 38 peratus.

“Dengan bayaran tersebut, kerajaan persekutuan boleh membahagikan setengah kepada Sarawak dan juga Sabah,” katanya.

Abdul Karim juga tidak bersetuju dengan kenyataan Dr Mahathir bahawa pembayaran 20 peratus royalti akan menyebabkan Petronas bukan lagi menjadi syarikat minyak antarabangsa.

Bayaran 20 peratus royalti adalah janji, dan mereka harus kotakan janji itu, tegasnya.

Dr Mahathir, pada sesi dialog dengan pengurus dana di ibu pejabat JP Morgan di New York pada Khamis lepas, berkata pemberian 20 peratus kepada Sarawak dan Sabah itu bermakna Petronas tidak lagi menjadi syarikat minyak antarabangsa sepertimana sebelumnya.

Beliau berada di New York untuk menghadiri sesi Ke-74 Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB). — DayakDaily