Bayar segera atau hadapi saman, kata Karim kepada Petronas

Karim sedia untuk memukul gong sebagai simbolik pelancaran Pesta Burung Asia Ke-10 di Tebingan Kuching.

Oleh Chris Bishop

KUCHING, SEPT 28: Menteri Belia Dan Sukan Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah gesa Petroliam Nasional Berhad (Petronas) segera bayar lima peratus cukai jualan ke atas produk petroleum yang berkuatkuasa awal tahun ini.

Katanya, Petronas diberikan tempoh sehingga penghujung bulan Oktober ini untuk membuat pembayaran, jika gagal Kerajaan Sarawak akan mengambil tindakan undang-undang.


“Syarikat minyak yang lain telah pun membuat pembayaran, Shell dan Murphy Oil sudah membayar.

“Satu-satunya syarikat minyak yang belum membuat pembayaran adalah Petronas dan kita beri tempoh sehingga pengujung bulan Oktober.

“Jika gagal, kita akan mengambil tindakan undang-undang dan kita bersedia untuk melaksanakannya,” tegas Karim.

Beliau berkata demikian pada sidang media setelah merasmikan Pesta Burung Asia ke-10 2019 di Tebingan Sungai Kuching hari ini.

Peserta dan penganjur merakamkan kenangan bersama Karim (berdiri lapan dari kanan) di majlis pelancaran Pesta Burung Asia Ke-10.

Tambah Karim, yang juga Menteri Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan, Sarawak tidak dapat menunggu lama lagi kerana ordinan cukai tersebut telah dikuatkuasakan bermula Januari 2019.

“Petronas minta diberi penangguhan sehingga pertengahan tahun ini sedangkan syarikat minyak yang lain memahami ordinan dan telah membayar.

“Jika pembayaran tidak dibuat ia adalah satu kesalahan, ordinan sudah jelas dan kita boleh mengeluarkan saman,” kata Karim.

Tidak senang dengan dolak dalih Petronas, Karim mengeluarkan pertanyaan ‘Siapakah anda?’.

Katanya, syarikat tersebut seharusnya tidak melebihi Sarawak yang menjadi pengeluar utama minyak dan gas.

“Anda tidak boleh besar lagi dari Sarawak, dan anda hanya sebuah syarikat,” ujar beliau.

Mengulas mengenai Pesta Burung Asia Ke-10 di Kuching, Karim berkata objektif acara adalah untuk memupuk hubungan antara peserta disamping bertukar ilmu dan pengalaman.

Pesta anjuran Kesatuan Pemuliharaan Ekopelancongan Malaysia (ECOMY) dengan kerjasama Kementerian Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan bermula dari 27 September hingga 1 Oktober 2019.

Antara program yang diadakan sepanjang pesta ialah forum eko-antarabangsa, ceramah umum, program sekolah serta pameran oleh lebih daripada 70 pempamer.

Negara yang menghantar penyertaan adalah Kemboja, Australia, India, Kenya, Nepal, Panama, Peru, Filipina, China, Taiwan, Singapura, Jepun , Hong kong, Amerika dan banyak lagi.— DayakDaily