Gaduh: 7 suspek ditahan polis

Kesemua suspek ditahan untuk siasatan lanjut.

Oleh Brad Rantayy

MIRI, 24 Julai: Angkara tuduh menuduh, tujuh lelaki warga tempatan ditahan polis kerana disyaki terlibat dalam satu pergaduhan yang membabitkan dua kumpulan, awal pagi Jumaat di Taman Jelita.

Semasa tangkapan, polis turut merampas beberapa senjata tajam dipercayai telah digunakan dalam kejadian yang berlaku sekitar jam 4 pagi itu.


Menurut Ketua Polis Daerah Miri ACP Hakemal Hawari, pergaduhan melibatkan dua kumpulan lelaki berusia sekitar 19 sehingga 34 tahun.

Kejadian tercetus apabila salah seorang individu terbabit menuduh suspek membakar kereta milik rakannya.

Tolak menolak berlaku antara kesemua suspek, yang seterusnya menyebabkan kepada pergaduhan.

Susulan satu laporan polis dibuat mengenai kejadian, polis telah melancarkam Ops Cantas dan berjaya menahan kesemua suspek kurang empat jam selepas kejadian.

Kes disiasat mengikut Seksyen 148 Kanun Keseksaan. — DayakDaily