Anak durjana pukul ibu sendiri ditahan polis

Suspek (tengah) ditahan di rumahnya di Tudan pada hari yang samam susulan laporan polis yang dibuat ibunya berhubung kejadian.

Oleh Brad Rantayy

MIRI, 24 Julai: Hanya kerana enggan melakukan kerja-kerja rumah seperti yang diarahkan ibunya, seorang lelaki tergamak memukul dan menendang wanita berusia 43 tahun itu sehingga cedera pada pagi Jumaat.

Kejadian dilaporkan berlaku di sebuah rumah di Lorong Mulia 4 Tudan fasa 2 sekitar jam 9 pagi.

Difahamkan, suspek berusia 20 tahun itu tiba-tiba naik berang apabila ibunya memintanya mengemas rumah.

Ketua Polis Daerah Miri ACP Hakemal Hawari ketika dihubungi mengesahkan tangkapan.

“Susulan laporan polis yang dibuat oleh mangsa, sepasukan anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah (JSJ) IPD Miri telah menahan suspek pada hari yang sama kurang sejam selepas kejadian di kediamannya di Tudan,” katanya.

Siasatan awal mendapati, suspek bukan hanya menendang ibunya, malah turut menarik rambut mangsa.

Kes disiasat mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana melakukan ugutan jenayah. — DayakDaily