Festival Muzik dan Tarian tarik pelancong ke Long Bedian

Abdul Karim (lima kanan) menyempurnakan simbolik perasmian festival dengan memukul ‘Atui'. Foto: UKAS

KUCHING, 30 April: Penganjuran ‘Sarawak Highland Folks Music and Dance Festival’ mempamerkan keunikan budaya masyarakat Orang Ulu di kawasan Long Bedian, kata Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah.

Menurut laporan Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS), Abdul Karim berkata, festival seumpamanya mampu menarik lebih ramai pelancong luar.

Katanya, ia sekali gus meningkatkan ekonomi penduduk setempat yang menjual pelbagai jenis barangan semasa penganjuran program ini.


“Program ‘Sarawak Highland Folks Music and Dance Festival’ ini masih berkembang maju.

“Ia boleh menarik pengunjung luar dan menjana sumber pendapatan buat penduduk setempat yang turut menjual produk mereka seperti kraftangan, makanan dan sebagainya,” katanya ketika berucap dalam festival tersebut di Dewan Serbaguna Long Bedian di sini pada Sabtu.

Dalam pada itu, Abdul Karim berkata, kementeriannya sentiasa komited untuk mempromosikan keindahan dan keunikan Sarawak kepada masyarakat luar.

Terdahulu ketika berucap, Adun Telang Usan merangkap Pengerusi Lembaga Pelancongan Sarawak (STB) Dennis Ngau berkata, penganjuran festival mampu menghidupkan kembali budaya sesuatu kaum khususnya kaum Orang Ulu.

Dennis menzahirkan penghargaan kepada Kementerian Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan atas sumbangan sebanyak RM80,000 untuk menjayakan penganjuran festival itu yang dalam edisi kelimanya pada tahun ini.

“Pihak STB turut menyumbangkan RM11,000 untuk program ini,” jelasnya.

Pada program tersebut, Abdul Karim turut menyempurnakan simbolik perasmian festival dengan memukul ‘Atui’ iaitu sebuah alat permainan kaum Penan yang dibuat daripada kayu bulat. — DayakDaily