Fatimah: Seorang penyandang kerusi DUN dari kalangan wanita PBB tidak akan bertanding pada PRN

Fatimah ketika ditemui di Dewan Serbaguna Ranchan, Serian.

SERIAN, 9 Nov: Ketua Wanita Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Dato Sri Fatimah Abdullah mengesahkan seorang penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dari kalangan wanita tidak akan bertanding pada Pilihanraya Negeri (PRN) kali ini.

Menurut Fatimah, hasrat tersebut telah dimaklumkan kepada Pengerusi Gabungan Parti Sarawak (GPS) Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg.

“Untuk calon wanita memang ada diantara kami yang tidak akan bertanding.

“Saya ada maklumat tetapi saya tidak boleh mendedahkan siapa yang tidak akan bertanding yang disebabkan faktor kesihatan.

“Tetapi biarlah Abang Johari mengumumkan calon-calonnya kelak,” katanya.

Fatimah berkata demikian ketika ditemui selesai Sesi Perjumpaan dan Pemerkasaan Ranting Wanita PBB Cawangan Bukit Semuja di Dewan Serbaguna Ranchan hari ini.

Dalam masa yang sama tambah Fatimah, Wanita PBB berharap bilangan wakil wanita di dalam pilihanraya tidak berkurangan.

Beliau berharap akan ada calon baru dari kalangan pemimpin wanita bagi menggantikan yang telah digugurkan.

Fatimah yang juga penyandang DUN Dalat yakin Abang Johari sememangnya ambil maklum tentang pentingnya penglibatan pemimpin wanita.

“Saya rasa kita dapat lihat kali ini akan ada muka baru dan ini adalah satu tradisi yang digunapakai oleh PBB.

“Ini adalah gabungan veteran dan muka baru iaitu sentiasa ada pelapis dan dengan itu ada kesinambungan.

“Ini penting dalam sesebuah parti supaya kekuatan akan terjaga dan terpelihara,” ujar Fatimah.

Dalam pada itu, beliau menekankan pentingnya meletakkan calon boleh menang pada setiap pilihanraya.

Katanya, GPS berkehendakan mandat besar daripada rakyat untuk menubuhkan sebuah kerajaan yang kukuh dan stabil, seterusnya dapat terus memajukan negeri serta mensejahterakan rakyat.

Selain Fatimah di DUN Dalat, empat penyandang dari kalangan wanita PBB ialah Datuk Sharifah Hasidah (Samariang), Simoi Peri (Lingga), Datuk Amar Jamilah Anu (Tanjung Datu) dan Datuk Rosey Yunus di Bekenu. — DayakDaily