Fadillah: Seramai 26,021 warga Sarawak di luar negeri dibantu sejak PKP1

Dato Sri Fadillah Yusof

KUCHING, 11 Julai: Kerajaan negeri telah menyalurkan bantuan kepada seramai 26,021 anak Sarawak yang berada di luar negeri sejak perlaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada 18 Mac 2020.

Menurut Menteri Kanan Kerja Raya Dato Sri Fadillah Yusof, bantuan disalur melalui Rumah Sarawak di Kuala Lumpur (RSKL) serta Sarawak Volunteers (SV) dan melibatkan mereka yang berada di Semenanjung Malaysia, Sabah dan Labuan.

Daripada jumlah keseluruhan itu katanya, seramai 20,916 pelajar adalah melibatkan golongan pelajar.


“Seramai 17,954 warga Sarawak termasuk 17,739 pelajar menerima bantuan khas semasa PKP 1, diikuti 2,475 anak Sarawak termasuk 2,018 pelajar menerima bantuan ketika PKP 2.

“Dan seramai 5,592 warga Sarawak termasuk 1,159 pelajar menerima bantuan ketika PKP 3,” kata Fadillah dalam satu kenyataan hari ini.

Tambah beliau yang juga penaung SV, bantuan yang diberikan adalah menguruskan penghantaran pulang pelajar-pelajar dan anak-anak Sarawak yang terkandas, serta menyediakan penginapan sementara dan makan minum.

Selain itu katanya, bantuan kewangan serta bakul makanan turut disalurkan kepada warga Sarawak yang berdepan masalah ketika pandemic Covid-19.

Dari segi bantuan kebajikan, kata Fadillah, RSKL dan SV telah membantu seramai 587 warga Sarawak pada 2020, manakala 117 warga Sarawak dibantu sejak 1 Januari hingga 9 Julai 2021 dengan melibatkan peruntukan sebanyak RM431,356.50.

“Bantuan kebajikan melibatkan tiga kategori bantuan iaitu Bantuan Mingguan bagi kes yang dirujuk dari hospital di Sarawak, Bantuan Lain seperti penginapan, makanan, tiket penerbangan dan sumbangan serta Penghantaran Jenazah.

“Bagi Bantuan Mingguan, seramai 115 warga Sarawak dibantu pada tahun 2020 dengan nilai bantuan RM54,060 dan 89 dibantu antara Januari hingga 9 Julai tahun ini melibatkan peruntukan sebanyak RM41,970.51,” ujar beliau lagi.

Bagi Bantuan Lain katanya, seramai 418 warga Sarawak menerima bantuan berjumlah RM67,738.99 pada tahun lalu dan 67 lagi menerima bantuan berjumlah RM32,337 dalam tempoh tujuh bulan tahun ini.

Manakala bagi pengurusan jenazah, RSKL dan SV menguruskan penghantaran pulang 54 jenazah warga Sarawak pada tahun lalu dengan perbelanjaan RM168,400.

“Pada tahun ini, 21 jenazah turut dihantar pulang yang melibatkan kos RM66,850,” kata Fadillah yang juga Ketua ‘whip’ Gabungan Parti Sarawak (GPS). — DayakDaily