Dua lelaki dengan 10 rekod jenayah diberkas polis

Kedua-dua suspek (empat dan lima dari kiri) ditahan dalam Ops Pintu.

Oleh Brad Rantayy

MIRI, 11 Julai: Dua lelaki warga tempatan ditahan polis dalam Ops Pintu semalam kerana disyaki terlibat dengan kecurian sebuah stor kontena berukuran 20 kaki panjang baru-baru ini di Jalan Lutong-Kuala Baram.

Suspek-suspek berusia 57 dan 46 tahun itu ditahan oleh sepasukan anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah (JSJ) IPD Miri pada petang semalam di sebuah rumah teres di Desa Senadin Fasa 5.


Menurut Ketua Polis Daerah Miri ACP Hakemal Hawari, turut ditemui dalam operasi tersebut adalah sebuah kontena berwarna kuning berukuruan 20 kaki panjang yang telah dilaporkan hilang oleh pemiliknya pada 3 Julai yang lalu.

“Beberapa barangan pembinaan dan batang paip turut ditemui di dalam kontena tersebut,” katanya.

Nilai kerugian dianggarkan lebih RM6,000.

Tangkapan jam 4.40 petang itu dilakukan susulan maklumat risikan pihak polis.

Hasil siasatan mendapati kedua-dua suspek, masing-masing mempunyai lima rekod jenayah lampau.

Kes sedang disiasat mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan. ā€” DayakDaily